PRK Kemaman: Ahmad Samsuri calon PAS
CHUKAI – Parti PAS menamakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ceramah Perdana dan Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini malam tadi.
Ini adalah penampilan pertama Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS bagi merebut kerusi parlimen.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang berjaya mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua.
Untuk rekod, Ahmad Samsuri bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.
Kerusi parlimen berkenaan dikosongkan setelah kemenangan Che Alias Hamid pada PRU19 dibatalkan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 Sept lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Ia mendakwa terdapat unsur sogokan di beberapa majlis rasmi melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih kemenangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.