BERITA SEMASAPMX

PM umum peruntukan RM4.6 juta naik taraf sekolah agama rakyat, tahfiz di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan memperuntukkan RM4.6 juta bagi membantu menaik taraf sekolah agama rakyat, madrasah dan institusi tahfiz di Pulau Pinang tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu antara usaha kerajaan memastikan institusi pendidikan Islam mendapat sokongan sewajarnya, khususnya bagi memperbaiki kemudahan yang daif.

“Tahun lalu di Pulau Pinang kita tambah dua juta lebih. Tahun ini saya nak umumkan kita bagi RM4.6 juta untuk sekolah agama rakyat.

“Pondok ini kadang-kadang daif sangat, pintu terbang, bumbung pun. Jadi kita bantu sedaya upaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tadabur Mushaf MADANI dan Perasmian Ma’idah Wanita MADANI Peringkat Nasional di Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya, di sini hari ini.

Menurutnya, bantuan berkenaan disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini turut meningkatkan peruntukan kepada sekolah agama rakyat secara berperingkat selepas mengambil kira keperluan institusi berkenaan.

“Kita dulu ada sedikit bantuan kepada sekolah agama rakyat, pada 2003 saya masa itu ‘cuti’ di sungai buloh, Perdana Menteri ketika itu batalkan peruntukan sekolah agama rakyat.

“2022 saya kembali jadi PM. 2023 saya umumkan semua yang dibatalkan dulu dikembalikan untuk semua sekolah agama rakyat. 2024 tak cukup, maka kita mula tambah peruntukan dan 2025 setelah berbincang dengan tuan-tuan guru pondok, kita mula sampaikan bantuan tersebut melalui JAKIM, MOF dan ICU Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Anwar berkata, peruntukan tahun ini antara lain membabitkan kerja menaik taraf tembok, pagar, madrasah, bangunan sekolah dan akademi tahfiz.

Antara penerima ialah Maktab Wan Jah yang menerima RM250,000, Sekolah Menengah Al-Itqan (RM150,000), Madrasah (RM250,000) dan Sekolah Al-Itqan (RM150,000).

Beliau berkata, bantuan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa pendidikan agama selain memastikan institusi Islam dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button