BERITA SEMASA

Melaka Showcase perkukuh jaringan, buka peluang pasaran lebih luas buat usahawan tempatan

KUALA LUMPUR – Melaka Showcase 2026 menjadi platform penting dalam memperluas jaringan perniagaan usahawan tempatan menerusi peluang mempertemukan mereka dengan rakan strategik, pasaran baharu serta pengguna dari dalam dan luar Melaka.

Timbalan Exco Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hashim berkata, platform seperti itu memberi ruang kepada usahawan membina hubungan perniagaan yang lebih luas selain memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih besar.

melaka showcase
Tuminah meneliti produk usahawan Melaka yang menyertai program Melaka Showcase.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, penglibatan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Melaka Showcase 2026 turut memberi manfaat kepada usahawan di bawah agensi itu, khususnya dari aspek promosi dan peluasan pasaran.

“Pertama dari segi membina jaringan dan juga melahirkan usahawan, dalam masa yang sama kita memperkenalkan produk di Melaka.

“MARA membantu terutama usahawan di bawah MARA bagi mempromosikan produk mereka, selain kita turut memperkenalkan makanan tradisi tempatan Melaka,” katanya ketika ditemui pada hari terakhir Melaka Showcase 2026, hari ini.

Turut hadir Pengarah MARA Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar.

Menurut Tuminah, peluang membina jaringan yang lebih luas penting bagi membantu usahawan tempatan meneroka pasaran di luar Melaka serta membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pendapatan.

Katanya, Melaka Showcase juga menjadi medium memperkenalkan identiti negeri menerusi produk makanan, kebudayaan dan warisan tempatan, khususnya sempena Tahun Melawat Melaka.

“Bila sampai ke Melaka, jaringan itu lebih luas dan dalam masa yang sama memberi rezeki kepada usahawan untuk membina jaringan yang lebih luas.

“Kita juga memperkenalkan makanan tradisi negeri Melaka dan kebudayaan negeri Melaka. Kebetulan tahun ini Tahun Melawat Melaka, jadi melalui showcase ini kita dapat memperkenalkan makanan popular di negeri Melaka,” katanya.

Makanan tradisi seperti dodol antara produk yang ditawarkan buat pengunjung sempena program tersebut. 

Beliau berkata, antara produk makanan yang menjadi tarikan termasuk asam pedas Melaka, kuih keria dan cendol Kampung Hulu yang bukan sahaja mempunyai nilai komersial, malah mencerminkan identiti serta warisan kulinari negeri itu.

Dalam pada itu, pengisian pada sebelah petang hari terakhir Melaka Showcase 2026 menyaksikan pelbagai aktiviti bermula pukul 3 petang, termasuk sesi walkabout Tuminah ke ruang pameran.

Kehadiran beliau turut diserikan Persembahan Tarian Senandung Anak Melaka yang mengetengahkan seni dan budaya negeri sebagai sebahagian daripada identiti utama program.

Melaka Showcase 2026 turut memberi tumpuan kepada aspek inovasi apabila Tuminah menyempurnakan pelancaran aplikasi MySafar milik Mysafar Sdn Bhd.

melaka showcase
Tuminah menerima cenderahati selepas melancarkan aplikasi MySafar yang mengetengahkan panduan umrah secara DIY.

Aplikasi berkenaan menawarkan pendekatan alternatif kepada masyarakat untuk merancang dan melaksanakan ibadah umrah secara lebih fleksibel, mudah serta kos efektif, termasuk bagi pengguna yang memilih konsep Umrah DIY.

MySafar turut membantu pengguna mengurus perjalanan bermula daripada pembelian tiket penerbangan sehingga penyusunan atur cara bagi menjadikan urusan ibadah lebih lancar.

Tuminah turut menyempurnakan pelancaran dua produk usahawan Melaka iaitu MDS Food Industry dan Hanuris Food Industry Sdn Bhd.

melaka showcase
Tuminah menandatangani plak menandakan kehadirannya sempena program Melaka Showcase 2026 sambil disaksikan Shah Zulmizan. 

Pelancaran itu memperlihatkan usaha berterusan usahawan tempatan menghasilkan produk lebih kompetitif dan inovatif serta bersedia untuk dikembangkan ke pasaran lebih besar.

Selain itu, Brew Master Session yang berlangsung di booth pempamer turut memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung dengan mengetengahkan aspek kemahiran, kreativiti dan perkembangan industri minuman dalam ekosistem keusahawanan.

Tuminah berkata, penganjuran program sebegitu wajar diteruskan kerana bukan sahaja membantu usahawan membina jaringan perniagaan, malah menjadi ruang memperkenalkan makanan dan budaya tradisional Melaka kepada rakyat serta pelancong.

Melaka Showcase 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 26 Ogos lalu yang dianjurkan MARA Negeri Melaka. Ia menghimpunkan seramai 64 usahawan merangkumi sektor makanan dan minuman serta gaya hidup.

Program ini mengetengahkan keunikan industri usahawan Melaka melalui pameran jualan, peluncuran produk, persembahan seni budaya, pertandingan serta aktiviti interaktif yang menyatukan elemen keusahawanan dan warisan tradisi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button