BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

ATM sedia gerak kepakaran bantu mangsa banjir Nepal

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menggerakkan kepakaran dan keupayaannya bagi membantu operasi kemanusiaan di Nepal susulan bencana banjir teruk yang melanda negara itu, sekiranya kerajaan memutuskan Malaysia menyertai misi bantuan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun, sebarang keputusan membabitkan penglibatan ATM perlu menunggu pengesahan serta arahan kerajaan terlebih dahulu.

“Saya percaya biar kementerian luar mengesahkan dan biar kerajaan putuskan apa yang wajar dibuat.

“Kita bersedia. Kita memang seperti kita sedia maklum antara perkara yang boleh disumbangkan oleh pihak ATM adalah dalam soal misi-misi kemanusiaan dan jika ada keputusan daripada pihak kerajaan dan jika ia melibatkan ATM kita bersedia untuk menyumbang kepakaran dan juga keupayaan kita,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini rakyat Malaysia yang dipercayai berada di kawasan terjejas banjir di Nepal, termasuk mereka yang masih gagal dihubungi keluarga.

Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan kepada Kementerian Luar untuk mendapatkan pengesahan mengenai keadaan rakyat Malaysia yang terjejas sebelum sebarang keputusan mengenai bentuk bantuan dibuat.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Tahun 2026 peringkat Kementerian Pertahanan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Dataran Wisma Pertahanan, di sini.

Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet itu mengakibatkan kemusnahan besar, selain mengorbankan nyawa serta menyebabkan ratusan individu dilaporkan hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button