BERITA SEMASA

Jalur Gemilang satukan rakyat Malaysia – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Perbezaan latar belakang, kaum, agama dan bahasa tidak seharusnya menjadi penghalang kepada rakyat Malaysia untuk terus bersatu di bawah satu identiti negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Jalur Gemilang menjadi simbol yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan yang wujud dalam masyarakat.

“Kita mungkin berbeza tentang banyak perkara.

“Tetapi apabila Jalur Gemilang dinaikkan, kita semua berdiri di bawah bendera yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata demikian selepas menyertai Program Riadah Kibar Jalur Gemilang 2026 bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM), Jumaat lalu.

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya membawa makna lebih besar mengenai semangat cintakan negara dan kebersamaan rakyat.

Beliau berkata, setiap Jalur Gemilang yang dikibarkan membawa kisah sebuah negara yang dibina oleh generasi terdahulu dan dihuni masyarakat daripada pelbagai latar kehidupan.

“Negara yang dihuni oleh manusia daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan latar kehidupan tetapi memilih untuk berkongsi satu tanah air,” katanya.

Fadhlina berkata, semangat berkenaan juga wajar dipupuk dalam kalangan murid melalui sambutan Bulan Kebangsaan di sekolah.

Katanya, Jalur Gemilang yang menghiasi sekolah menjadi sebahagian daripada proses membentuk generasi yang bakal mewarisi Malaysia.

“Kita mahu mereka mencintai Malaysia kerana mereka tahu negara ini juga milik mereka.

“Milik anak di bandar dan di pedalaman. Milik anak Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Milik kita semua,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab generasi hari ini adalah memastikan Malaysia yang diwariskan kepada anak-anak pada masa depan berada dalam keadaan lebih aman, makmur dan baik.

“Ini negara kita dan masa depannya juga tanggungjawab kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button