Ahli Parlimen Kepala Batas beri keterangan kepada polis
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad dipanggil memberikan keterangan kepada polis berhubung kenyataannya yang mengaitkan pengerusi DAP, Lim Guan Eng dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Peguam, Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat ke atas anak guamnya.
“Kami dipanggil ke Bukit Aman berkenaan satu ucapan pada majlis kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Kemaman, dan kita beri kerjasama dan jawab semua soalan.
“Kami sudah memberi bahan-bahan rujukan yang kita kumpul dan serahkan kepada pihak polis sama ada relevan, berkait atau tidak, kita serah kepada polis untuk siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Amzar turut mengesahkan pihaknya menerima empat tuntutan daripada Guan Eng dan isteri, Betty Chew; bekas Pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Katanya, setakat ini mereka berpendirian untuk tidak mengubah atau menarik balik kenyataan dibuat berhubung perkara itu sehingga selesai meneliti semua pilihan yang ada.
Sementara itu, Mastura menyifatkan siasatan yang dibuat terhadapnya berkaitan isu 3R (raja, agama dan bangsa).