PENDAPATRENCANA

Membedah pemansuhan AUKU: Mengiktiraf mahasiswa, memperkukuh tadbir urus pendidikan tinggi

Oleh PROF MADYA DR NISAR MOHAMMAD AHMAD

Oleh PROF MADYA DR NISAR MOHAMMAD AHMAD

Penulis merupakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),

PENGUMUMAN kerajaan mengenai hasrat untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka lembaran baharu dalam sejarah pendidikan tinggi negara.

Langkah ini dilihat sebagai satu reformasi penting yang bukan sahaja menyentuh aspek kebebasan mahasiswa, malah memberi ruang kepada penstrukturan semula sistem tadbir urus pendidikan tinggi agar lebih moden, inklusif dan responsif terhadap cabaran semasa.

Bagi sebahagian besar masyarakat, AUKU sering dikaitkan dengan sekatan terhadap kebebasan mahasiswa serta penglibatan mereka dalam aktiviti politik dan sosial.

anwar ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemansuhan AUKU pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka baru-baru ini. 

Oleh itu, pengumuman pemansuhan akta tersebut disambut baik oleh pelbagai pihak khususnya golongan mahasiswa yang telah lama mengharapkan ruang demokrasi kampus yang lebih luas.

Namun demikian, persoalan yang timbul ialah sama ada pemansuhan AUKU bermaksud keseluruhan kerangka perundangan universiti akan dihapuskan sekali gus. Jawapannya ialah tidak.

Memahami kerangka perundangan AUKU

Perbahasan mengenai pemansuhan AUKU perlu dimulakan dengan memahami struktur sebenar akta tersebut. Sejak mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971, AUKU telah melalui tujuh siri pindaan sepanjang lebih lima dekad pelaksanaannya.

Pada permulannya ia mempunyai 27 seksyen, namun tiga seksyen telah dimansuhkan dan 20 seksyen tambahan dimasukkan selepas pindaan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 44 seksyen.

Apa yang sering terlepas daripada perhatian umum ialah sebahagian besar kandungan AUKU sebenarnya berkaitan dengan penubuhan, tadbir urus dan pentadbiran institusi pengajian tinggi awam.

auku
Sebahagian besar kandungan AUKU sebenarnya berkaitan dengan penubuhan, tadbir urus dan pentadbiran institusi pengajian tinggi awam. – Foto Hiasan

Daripada keseluruhan 44 seksyen yang terkandung dalam akta tersebut, hanya tujuh seksyen yang secara langsung menyentuh hal ehwal pelajar dan mahasiswa.

Selebihnya adalah berkaitan struktur pengurusan universiti, kuasa pentadbiran, fungsi pihak berkuasa universiti serta mekanisme tadbir urus institusi.

Fakta ini menunjukkan bahawa persepsi yang menggambarkan AUKU sebagai undang-undang yang semata-mata diwujudkan untuk mengawal mahasiswa adalah tidak sepenuhnya tepat.

Sebaliknya, AUKU turut menjadi asas kepada operasi dan pentadbiran universiti awam selama lebih 50 tahun.

Pemansuhan sebagai pengiktirafan terhadap mahasiswa

Dalam konteks yang lebih luas, pemansuhan peruntukan AUKU yang mengawal kebebasan mahasiswa harus dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap kematangan dan peranan golongan mahasiswa dalam masyarakat.

Mahasiswa hari ini bukan lagi kelompok yang hanya berfungsi sebagai penerima ilmu semata-mata.

Mereka merupakan sebahagian daripada kelompok intelektual negara yang berupaya menyumbang kepada perbahasan dasar, pembangunan masyarakat, kemajuan ekonomi serta pembentukan budaya demokrasi yang sihat.

semarak kampus
Mahasisa merupakan kelompok yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara dan wajar diberi ruang menyatakan pandangan secara bertanggungjawab. – Foto Hiasan 

Sebagai kelompok yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara, mereka wajar diberikan ruang yang lebih luas untuk berfikir, berhujah, berpersatuan dan menyatakan pandangan secara bertanggungjawab.

Pemberian ruang kebebasan ini juga selaras dengan hasrat melahirkan graduan yang mempunyai kemampuan berfikir secara kritis, berani menyuarakan pandangan serta mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

Universiti seharusnya menjadi medan latihan untuk membentuk warga negara yang matang dan bertanggungjawab, bukan sekadar kilang menghasilkan tenaga kerja.

Kebebasan bukan bererti kebal undang-undang

Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu difahami dengan jelas ialah pemansuhan AUKU bukan bermaksud mahasiswa diberikan kebebasan tanpa batas atau dikecualikan daripada pematuhan kepada undang-undang negara.

Kebebasan yang diberikan perlu difahami dalam kerangka kedaulatan undang-undang.

Seperti mana-mana warganegara lain, mahasiswa tetap tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai undang-undang sedia ada yang mengawal ketenteraman awam, keselamatan negara, fitnah, hasutan, keganasan, jenayah siber dan pelbagai bentuk salah laku lain.

Sekiranya seseorang mahasiswa melakukan kesalahan yang bercanggah dengan undang-undang, tindakan undang-undang tetap boleh diambil tanpa mengira status mereka sebagai pelajar universiti.

mahkamah
Mahasiswa tetap tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai undang-undang sedia ada yang mengawal ketenteraman awam, keselamatan negara, fitnah, hasutan, keganasan, jenayah siber dan pelbagai bentuk salah laku lain.

Pemansuhan AUKU tidak mewujudkan imuniti undang-undang kepada mahasiswa. Sebaliknya, ia hanya menghapuskan beberapa sekatan khas yang sebelum ini dikenakan terhadap penglibatan dan kebebasan mereka sebagai warga kampus.

Atas sebab itu, reformasi ini perlu disertai dengan usaha memperkukuh budaya tanggungjawab, integriti dan literasi undang-undang dalam kalangan mahasiswa.

Kebebasan dan tanggungjawab merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Semakin besar ruang kebebasan yang diberikan, semakin tinggi tahap tanggungjawab yang perlu dipikul.

Keperluan reformasi tadbir urus pendidikan tinggi

Dalam masa yang sama, aspek tadbir urus universiti tidak boleh diketepikan. Sebarang pemansuhan atau pindaan terhadap AUKU perlu dilaksanakan secara terancang bagi mengelakkan berlakunya kekosongan perundangan yang boleh menjejaskan operasi universiti awam.

Sehubungan itu, pengumuman pemansuhan AUKU merupakan satu langkah yang amat signifikan.

Ia seiring dengan inisiatif yang digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM) untuk mewujudkan Akta Satu Pendidikan Tinggi (One Higher Education Act – OHEA).

pendidikan
RPTM 2026-2035 adalah dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

Akta baharu ini dicadangkan untuk mengharmonikan pelbagai undang-undang pendidikan tinggi yang kini beroperasi secara berasingan, termasuk AUKU serta akta-akta berkaitan institusi pendidikan tinggi swasta.

Pendekatan tersebut berpotensi menghasilkan sistem perundangan yang lebih tersusun, cekap dan seragam, sekali gus memudahkan pelaksanaan dasar serta meningkatkan daya saing pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.

Menuju ekosistem pendidikan tinggi lebih matang

Akhirnya, pemansuhan AUKU sewajarnya dilihat bukan sekadar sebagai kemenangan simbolik kepada gerakan mahasiswa, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan tinggi negara yang lebih besar.

Apa yang ingin dicapai bukanlah kebebasan tanpa batas, tetapi keseimbangan antara autonomi, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai kelompok penting dalam proses pembangunan negara dan diberikan kepercayaan untuk menyumbang secara aktif dalam kehidupan demokrasi.

mahasiswa
Malaysia mampu melahirkan mahasiswa yang lebih matang, berani dan berdaya saing jika reformasi AUKU berjaya dilaksanakan dengan penuh teliti.

Pada masa yang sama, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang dan prinsip tanggungjawab sosial yang menjadi asas kepada sebuah negara yang berdaulat.

Sekiranya reformasi ini dilaksanakan dengan teliti, Malaysia bukan sahaja akan melahirkan mahasiswa yang lebih matang, berani dan berdaya saing, malah berjaya membina ekosistem pendidikan tinggi yang moden, progresif dan bertaraf dunia.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button