Ben-Gvir tawar bekas tentera Israel kuasa laksana hukuman mati
BAITULMAQDIS – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir terus menunjukkan kebencian terhadap rakyat Palestin apabila menyatakan kesediaan untuk memberi peluang kepada bekas tentera Israel yang pernah ditahan di Gaza untuk melaksanakan hukuman mati terhadap rakyat Palestin.
Tawaran itu dibuat ketika Ben-Gvir ditemu bual bekas tawanan, Rom Braslavski, menerusi podcast pada Sabtu selepas selepas lelaki itu meminta supaya diberikan peluang melaksanakan sendiri hukuman gantung terhadap tahanan Palestin yang disabitkan kesalahan.
Braslavski yang pernah ditahan di Gaza berkata, beliau mahu melaksanakan hukuman itu dengan tangannya sendiri demi untuk memuaskan rasa dendamnya.
Ben-Gvir kemudian berjanji akan melakukan segala usaha bagi memenuhi permintaan berkenaan, malah menyifatkan Braslavski sebagai individu yang sesuai untuk melaksanakan hukuman tersebut.
“Saya akan lakukan segala-galanya untuk memastikan ia berlaku. Saya berharap ia berlaku kerana ia antara impian terbesar saya untuk melihat anda berada di sana,” katanya memetik laporan berita antarabangsa.
Kenyataan itu mencetuskan perhatian kerana ia dibuat ketika Israel melaksanakan dasar lebih keras terhadap tahanan Palestin, termasuk selepas Knesset meluluskan undang-undang baharu yang memperuntukkan hukuman mati secara gantung bagi rakyat Palestin yang disabitkan membunuh rakyat Israel dalam kes yang dikategorikan sebagai keganasan.
Ben-Gvir secara terbuka trut mempertahankan penahanan yang semakin ketat terhadap rakyat Palestin sejak beliau memegang jawatan pada akhir 2022, termasuk berkaitan makanan, kemudahan dan rawatan.
Beliau malah berkata dirinya berpuas hati apabila mengetahui tahanan Palestin kini “menderita” dan berada dalam keadaan sukar.
Pada akhir Mac lalu, Knesset meluluskan undang-undang yang diperkenalkan parti Jewish Power pimpinan Ben-Gvir, membolehkan mahkamah tentera menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang disabitkan membunuh rakyat Israel jika perbuatan itu diputuskan sebagai tindakan keganasan atau didorong penafian terhadap kewujudan Israel.
Pendekatan berkenaan mengundang kritikan kerana hukuman mati secara khusus menyasarkan rakyat Palestin yang dibicarakan di bawah peruntukan baharu itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai layanan berbeza berdasarkan identiti dan latar belakang tertuduh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








