UIAM batal kuliah Abdul Razak Baginda susulan kebimbangan akademik
KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membatalkan kuliah awam yang menampilkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, selepas Persatuan Kakitangan Akademik universiti itu menyuarakan kebimbangan berhubung penganjuran program berkenaan.
Kuliah bertajuk Asia’s Heroes and Villains: A Study of Leadership itu pada asalnya dijadual berlangsung Selasa ini di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM.
Dalam catatan di Facebook, pihak universiti memaklumkan pembatalan berkenaan dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.
Persatuan Kakitangan Akademik UIAM sebelum ini mempertikaikan pemilihan Razak sebagai penceramah, termasuk mengambil kira keputusan mahkamah yang mendapati beliau, kerajaan dan dua bekas anggota polis bertanggungjawab secara bersama dan berasingan dalam tuntutan sivil berkaitan kematian warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Persatuan itu berkata, sekiranya kuliah berkenaan diteruskan, UIAM wajar menampilkan penceramah bersama atau pembahas bagi memberikan perspektif tambahan mengenai isu kepimpinan.
“Memandangkan sensitiviti dan tema kuliah berhubung kepimpinan serta akauntabiliti, kami percaya acara itu akan mendapat manfaat daripada platform lebih seimbang,” katanya.
Selain itu, persatuan berkenaan mencadangkan moderator diberikan ruang mengemukakan soalan berkaitan kepimpinan dan akauntabiliti yang mempunyai kaitan langsung dengan sejarah awam Razak, selaras dengan prinsip keterbukaan dalam penyelidikan akademik.
Menurut persatuan itu, pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat memperkukuh integriti akademik program, malah menggalakkan penglibatan kritikal pelajar serta menjaga reputasi UIAM sebagai platform wacana yang seimbang.
Ia pada masa sama menggesa UIAM memperkenalkan protokol penapisan yang lebih jelas dalam pemilihan penceramah pada masa depan bagi mengelakkan kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi institusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








