BERITA SEMASA

Lebih 500 penduduk Kalabakan sertai Karnival Kempen Internet Selamat

KALABAKAN – Lebih 500 penduduk dari Kalabakan dan kawasan sekitarnya menyertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat (KIS) Daerah Kalabakan edisi Bulan Kebangsaan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di FELDA Umas, di sini.

Menurut MCMC, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menggunakan Internet secara selamat, bertanggungjawab dan beretika, selain memperkukuh pengetahuan komuniti dalam menghadapi ancaman jenayah siber.

“Bersempena Bulan Kebangsaan, mesej keselamatan internet disampaikan menerusi pendekatan mesra komuniti yang menggabungkan elemen patriotisme melalui Merdeka Fun Run, Pertandingan Busana Citra Malaysia dan Sukaneka Rakyat.

“Pendekatan berkenaan dilihat dapat menjadikan advokasi keselamatan digital lebih dekat dengan masyarakat, selain memudahkan mesej berkaitan keselamatan Internet difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kis
Lebih 500 penduduk Kalabakan sertai Karnival Kempen Internet Selamat. 

Karnival yang disempurnakan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy itu turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan MCMC menerusi KIS, yang sejak dilancarkan pada Januari 2025 telah menjangkau lebih 148,300 peserta di seluruh Sabah melalui pelbagai program advokasi dan pendidikan digital.

Dalam pada itu menurut MCMC, kesedaran mengenai penipuan dalam talian turut menjadi antara fokus utama karnival menerusi perkongsian Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan taktik penipuan kewangan, ancaman penyamaran identiti serta langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa.

“Pendedahan itu penting bagi membantu masyarakat mengenal pasti risiko lebih awal dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kerugian kewangan yang boleh menjejaskan individu serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji dan Sains Xplor turut mengambil bahagian dengan menyediakan maklumat, khidmat nasihat serta perkhidmatan berkaitan keselamatan digital, perlindungan kewangan, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

Pelaksanaan KIS di Kalabakan mencerminkan komitmen MCMC untuk memperluas advokasi keselamatan digital hingga ke peringkat akar umbi, khususnya komuniti di kawasan luar bandar dan di luar pusat bandar utama.

Dalam era ekonomi digital, keselamatan internet bukan lagi sekadar isu berkaitan teknologi, sebaliknya turut mempunyai kaitan langsung dengan keupayaan masyarakat melindungi maklumat peribadi, kewangan dan kesejahteraan keluarga daripada ancaman jenayah siber.

Usaha berterusan seperti ini penting bagi memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan teknologi secara selamat, yakin dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button