POLITIK

Afdlin cadang Ketua Cabang PKR diumum awal sebagai calon PRU

AYER KEROH – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan mencadangkan supaya kepimpinan cabang parti itu diumumkan lebih awal sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) bagi memberi ruang kepada mereka membina sokongan dan keyakinan rakyat.

Menurut beliau, langkah tersebut membolehkan bakal calon bekerja lebih awal di kawasan masing-masing selain mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya akan datang.

“Cadangan ini mungkin tidak disenangi semua pihak, namun saya berpendapat ketua-ketua cabang yang berpotensi perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Sekiranya dalam tempoh setahun atau lebih mereka gagal menunjukkan prestasi yang memuaskan, parti masih mempunyai ruang untuk membuat perubahan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR di sini hari ini.

Afdlin berkata, penamaan awal calon juga dapat membantu mereka mendapatkan kepercayaan masyarakat serta menarik sokongan daripada pihak yang mahu membantu memperkukuhkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan usaha PKR untuk terus memperkukuhkan organisasi dan membina keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.

Beliau turut berkata, komitmen anggota PKR untuk terus mempertahankan dan memperjuangkan agenda reformasi yang dibawa parti sejak penubuhannya.

“Anggota parti kini lebih bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan demi memperkukuhkan perjuangan PKR.

“Pesanan yang dibawa oleh Presiden sejak puluhan tahun lalu perlu terus dihayati dan dilaksanakan. Hari ini kita bersedia untuk menggalas amanah tersebut.

“Perjuangan kita bukan sekadar menentang sesuatu, tetapi lebih penting untuk membina negara dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button