Tun M, isteri diiktiraf pasangan ketua kerajaan centenarian pertama di Asia
PUTRAJAYA -Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan di Asia yang kedua-duanya masih hidup selepas mencapai usia 100 tahun.
Pengiktirafan itu diberikan menerusi Asia Records dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam, yang turut menyaksikan pasangan berkenaan menerima dua pengiktirafan lain.
Tun Dr Mahathir atau Tun M yang berusia 101 tahun dinobatkan oleh ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Tertua Yang Masih Hidup, manakala Tun Dr Hasmah, 100, menerima pengiktirafan sebagai Pasangan Kepada Bekas Perdana Menteri Tertua Yang Masih Hidup.
Pasangan itu turut mencatat rekod menerusi Asia Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya merupakan Centenarian Yang Masih Hidup.
Pencapaian tersebut hadir selepas pasangan berkenaan mencatat usia gabungan 201 tahun pada 12 Julai lalu, satu pencapaian yang jarang berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri.
Lebih istimewa, mereka turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos lalu selepas mendirikan rumah tangga pada tarikh sama pada 1956.
Bulan Julai lalu menjadi bulan istimewa buat kedua-duanya apabila Tun Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada 10 Julai, sebelum Tun Dr Hasmah genap berusia 100 tahun dua hari kemudian.
Pengiktirafan terbaharu itu sekali gus menambah satu lagi catatan sejarah kepada perjalanan pasangan berkenaan yang telah bersama selama tujuh dekad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








