Suri rumah didakwa bunuh cucu tiri berusia 16 bulan
KOTA TINGGI – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh cucu tirinya yang berusia 16 bulan, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah di Jalan SS6/13, Taman Sri Saujana di sini, antara pukul 12.30 tengah hari, 30 Julai lalu hingga 9.30 pagi pada 31 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, pesalah hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor, lapor Metro Online.
Mahkamah menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA). Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, wanita berkenaan ditahan selepas disyaki mendera bayi itu sehingga menyebabkan kematiannya.
Menurutnya, wanita berkenaan menjaga bayi tersebut sejak dilahirkan selepas ibu kandung mangsa yang berusia 18 tahun dan masih menuntut di sebuah kolej vokasional menyerahkan penjagaan anaknya kepadanya.
“Pada peringkat awal, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia selepas wanita itu membuat laporan polis mendakwa bayi berkenaan meninggal dunia ketika tidur.
“Namun, bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul.
“Terdapat juga kesan luka dan lebam di badan bayi berkenaan dipercayai akibat perbuatan penganiayaan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia,” katanya.
Ab Rahaman berkata, siasatan awal mendapati wanita warga tempatan itu dipercayai memijak dan memukul mangsa menggunakan tangan serta kaki.
Susulan itu, kertas siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








