JENAYAH & MAHKAMAH

Suri rumah didakwa di mahkamah kerana hina Yang di-Pertuan Agong di media sosial

SHAH ALAM – Seorang suri rumah dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana mengeluarkan komen berunsur jelik dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, tertuduh, Suhaila Abd Halim mengaku tidak bersalah setelah kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan, Suhaila,39, dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook ‘Suhaila Halim’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya pada pukul 6.25 pagi, 4 Januari lepas.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang kini memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 dan penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan, selepas pindaan akta tersebut berkuat kuasa pada 11 Februari lalu.

Bagaimanapun, memandangkan kesalahan yang didakwa berlaku sebelum pindaan itu, ibu kepada enam orang anak itu berdepan hukuman denda sehingga RM50,000, penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan bersalah.

Pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Azmir Razali, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Suhaila yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan kepada RM500 kerana beliau tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada suaminya dari segi kewangan.

Hakim Norazlin Othman kemudian memerintahkan Suhaila diikat jamin sebanyak RM10,000 dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan sementara menunggu perbicaraan kesnya.

Suhaila kemudiannya direman kerana gagal membayar wang jaminan tersebut.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September bagi membolehkan Suhaila melantik peguam dan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button