BISNES & EKONOMI

MKM sasar urus 80,000 jemaah, raih jualan RM50 juta

KUALA LUMPUR – MKM Ticketing Travel & Tour Sdn Bhd (MKM) baru-baru ini melancarkan pelan strategik 5-tahun (2024-2028) dalam usaha menjadi pengendali Umrah, Haji dan pakej pelancongan Muslim terbesar di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahaya berkata, pihaknya kini bersedia sepenuhnya dengan pasukan yang lebih kuat dan berpengetahuan selain sokongan pengurusan syarikat yang lebih baik.

Untuk tujuan itu juga katanya, MKM memperuntukkan RM250,000 bagi pembukaan lima buah cawangan baharu pada tahun depan iaitu di Kelantan, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Pahang selain cawangan sedia ada di Perak dan Perlis.

“Selain pembukaan cawangan baharu, pihak pengurusan juga akan menambah bilangan ejen kepada 200 orang berbanding lebih 80 orang yang aktif pada masa ini termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Selain pelan tersebut katanya, logo baharu juga diperkenalkan bagi menaikkan imej korporat syarikat supaya lebih dikenali bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Datuk Seri Mohd Khairi Datuk Mat Jahya (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi MKM, Nik Shazni Farhan Nik Mohammad Shah.

Sementara itu, Pengarah Strategik MKM, Abdul Hadi Abdul Raman menjelaskan, pihaknya sudah selesai melaksanakan penstrukturan semula organisasi dan kini memberi tumpuan kepada usaha memantapkan aspek pengurusan perniagaan.

Mengulas mengenai pelan strategik syarikat, Abdul Hadi berkata, MKM menggariskan bahawa operasi umrah dan haji, pengendalian tiket dan sektor pelancongan Muslim akan dijadikan teras utama dalam perniagaan syarikat.

“Berdasarkan pengalaman lalu, saya percaya sasaran yang ditetapkan dalam pelan berkenaan boleh dicapai dengan jayanya,” kata beliau sambil menambah, bagi tahun ini sahaja, syarikat pelancongan ini sudah mencatat jualan RM20 juta bagi jualan tiket dan pelancongan Muslim.

Abdul Hadi percaya dengan perancangan yang dibuat MKM mampu untuk muncul sebagai sebuah agensi pelancongan yang berprestasi tinggi dan dipercayai termasuk di peringkat antarabangsa.

“Kami baru-baru ini membuka sebuah cawangan di Jakarta, Indonesia dan juga pejabat operasi di Tanah Suci yang berfungsi menyediakan perkhidmatan terbaik di lapangan seperti pengangkutan jemaah termasuk di lapangan terbang selain memastikan tempat penginapan yang selesa,” katanya.

Beliau menambah, pelan berkenaan antara lain turut menumpukan kepada mengukuhkan jalinan strategik dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk para pembekal, pengendali hotel dan syarikat-syarikat penerbangan.

“Kami mahu menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada semua pelanggan melalui perkhidmatan yang jujur, amanah dan profesional melalui nilai teras dikenali sebagai PRIME,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button