BERITA SEMASA

Timbalan Menteri Agama mohon doa Persidangan Khas Dewan Rakyat RCI Tabung Haji jalan lancar

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, menyeru masyarakat supaya terus memberikan sokongan terhadap usaha pemulihan dan pengukuhan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, segala usaha yang dilakukan perlu dilihat secara adil dengan menyokong perkara yang baik, manakala sebarang kelemahan hendaklah ditegur secara berhikmah.

“Yang baik kita sokong. Yang kurang kita tegur dengan hikmah. Yang sedang berusaha, kita doakan. Yang khianat, semoga kebenaran tersingkap dan keadilan ditegakkan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Dalam pada itu, Marhamah turut mengajak orang ramai mendoakan agar Persidangan Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang berlangsung hari ini berjalan lancar serta dipandu kebijaksanaan dan penuh hikmah.

Beliau turut mendoakan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, diberikan kelancaran dalam menjalankan amanah berkaitan perkara berkenaan.

“Semoga setiap usaha akhirnya membawa kepada satu tujuan; amanah umat terus terpelihara dan Tabung Haji terus diperkukuhkan,” katanya.

Marhamah berkata, usaha memperkukuhkan TH perlu dilaksanakan dengan penuh amanah demi memastikan kepentingan dan kebajikan umat Islam terus terpelihara.

Beliau turut mengajak masyarakat mengikuti perkembangan gerak kerja serta aktiviti rasminya menerusi halaman Facebook rasmi beliau, selain mengalu-alukan cadangan, pandangan dan libat urus yang membina daripada masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button