JENAYAH & MAHKAMAH

Tawaran kerja, percutian perangkap sindiket culik mangsa warga asing

KUALA LUMPUR – Tawaran pekerjaan, percutian dan ajakan bersosial menerusi media sosial dipercayai antara taktik digunakan sindiket penculikan untuk memerangkap mangsa, khususnya warga asing sebelum diculik dan dikurung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sindiket terbabit menggunakan aplikasi Telegram, WeChat dan Badoo untuk mencari serta mendekati mangsa sebelum mengajak mereka bertemu atau datang ke Malaysia.

Katanya, setibanya mangsa di Malaysia, seorang suspek wanita berusia 30-an akan mendampingi mereka sebelum mangsa dibawa dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Apabila sampai di Malaysia, salah seorang suspek wanita berusia 30-an akan mendampingi mangsa sebelum mangsa digerakkan dari satu rumah ke rumah yang lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan inap desa sebagai lokasi untuk mengurung mangsa.

“Apabila telah bersemuka dengan suspek, mangsa akan ditangkap dan dikurung serta diarahkan untuk mendedahkan maklumat perbankan.

“Mangsa juga diminta menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakan bagi meminta wang sebagai tebusan untuk dibebaskan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sehubungan itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai kenalan yang ditemui menerusi media sosial, terutama individu yang menawarkan pekerjaan atau percutian.

“Sentiasa ada perasaan syak wasangka dan elakkan sebarang perhubungan dengan individu yang tidak dikenali,” katanya.

Terdahulu, polis berjaya menyelamatkan dua mangsa penculikan yang ditemukan dengan mata ditutup dan tangan bergari dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, Jumaat lalu.

Salah seorang mangsa, lelaki warga Singapura berusia 72 tahun, dipercayai ditawarkan pekerjaan di Malaysia sebelum dikurung sebaik tiba di Pulau Pinang pada 26 Julai lalu.

Sindiket berkenaan kemudian meminta mangsa menghubungi keluarganya bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah SG$1 juta (RM3.2 juta).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button