JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang motosikal konvoi maut, terbabas sebelum bertembung treler

KUALA KRAI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler dan kereta di Kampung Stong, Jalan Gua Musang-Dabong, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang berkonvoi bersama rakan-rakannya dari Temerloh, Pahang menuju Betong, Thailand.

Menurutnya, kemalangan membabitkan treler yang membawa dua traktor dari arah Pasir Puteh menuju Gua Musang dan sebuah kereta dipandu lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dari Kedah menghala ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika melalui jalan berselekoh sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian kanan hadapan treler menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, motosikal berkenaan terus bergerak ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler dan kereta tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-966 6222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button