BN nyata hasrat pertahan 21 kerusi DUN Melaka, terbuka rundingan
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) menyatakan komitmen untuk mempertahankan semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang berazam mempertahankan keseluruhan kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, BN terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka.
“Daripada 28 kerusi (DUN) di Melaka, maka Ketua Menteri, selaku Pengerusi BN Melaka, memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu.
“Pasti akan ada musyawarah antara semua pihak dan seperti dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka dan kami kepimpinan BN di peringkat pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk mana-mana pihak yang ingin berunding dengan parti tersebut bagi menghadapi PRN kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








