Polis siasat insiden kenderaan disembur cat merah di parkir MRT Kajang
KAJANG – Polis sedang menyiasat kejadian khianat membabitkan beberapa kenderaan yang disembur cat merah ketika diparkir di kawasan tempat letak kereta berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.29 malam kelmarin.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengadu ialah seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang meletakkan kereta jenis Perodua Myvi di luar kawasan parkir stesen berkenaan pada pukul 6 pagi sebelum menaiki MRT ke tempat kerja.
“Apabila kembali pada pukul 6 petang, pengadu mendapati terdapat kesan semburan cat merah pada cermin sebelah kanan kenderaannya.
“Pemeriksaan turut mendapati beberapa kenderaan lain yang diparkir di kawasan sama mengalami kerosakan serupa dipercayai akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan semalam.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Norhafdzeli Ismail di talian 010-375 5508.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








