BERITA SEMASA

KKR tingkat kapasiti saliran elak banjir kilat berulang di PLUS

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan beberapa langkah jangka sederhana bagi mengurangkan risiko kejadian banjir kilat berulang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai yang berlaku pada Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu termasuk menaik taraf kapasiti sistem saliran serta membina tembok konkrit bertetulang (RC) baharu di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pemasangan pintu flap pada sistem saliran turut dilaksanakan bagi menghalang air sungai daripada memasuki semula sistem perparitan lebuh raya ketika hujan lebat.

“Beberapa langkah jangka pendek turut dilaksanakan oleh pihak syarikat konsesi PLUS Bhd dengan memasang penghadang banjir sementara iaitu New Jersey Barriers yang dibalut kanvas di lokasi kejadian di sepanjang laluan utama PLUS dan di sekeliling outlet pembetung di Hentian Sebelah Nilai untuk mengurangkan risiko air melimpah.

“Di samping itu, pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan rutin terhadap parit, pembetung dan struktur saliran turut dipastikan dilakukan mengikut jadual bagi memastikan tiada mendapan atau sampah yang menghalang aliran air terutamanya pada musim hujan dan monsun,” katanya menerusi teks jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Jufitri Joha mengenai langkah kementerian bagi memastikan kejadian banjir kilat di Kilometer (KM) 286 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Nilai tidak berulang.

Sebelum ini, beberapa video tular di media sosial memaparkan kejadian banjir kilat di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Nilai pada 5 Mac lalu.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat bermula sekitar pukul 6.30 petang dan turut dimaklumkan oleh PLUS menerusi platform dalam taliannya.

Alexander berkata, banjir berkenaan menyebabkan laluan di kedua-dua arah Lebuhraya Utara-Selatan di KM287.0 antara Persimpangan Nilai Utara dan Persimpangan Putra Mahkota tidak dapat dilalui kenderaan.

“Kajian jurutera perunding mendapati kejadian itu berpunca daripada kenaikan mendadak paras air Sungai Buah akibat hujan lebat di Pekan Nilai yang bermula sekitar jam 5.30 petang.

“Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Batang Benar meningkat kepada 19.87 meter, melebihi paras bahaya 19 meter sebelum melimpah ke Sungai Buah dan seterusnya memasuki kawasan Hentian Sebelah Nilai serta laluan utama lebuh raya,” katanya.

Menurut beliau, paras banjir yang direkodkan di kawasan Hentian Sebelah Nilai ketika kejadian adalah sekitar 0.3 meter sebelum air mula surut pada pukul 7.32 malam dan laluan dibuka semula selepas disahkan selamat.

Alexander berkata, kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini turut memaklumkan dua projek pembangunan berskala besar iaitu projek perumahan dan tapak perkuburan yang sedang menjalankan kerja tanah berhampiran lebuh raya dikenal pasti sebagai punca utama banjir kilat kerana kolam tadahan di tapak projek belum berfungsi sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyarankan kerajaan negeri Perak dan pihak berkuasa tempatan memastikan semua projek pembangunan berhampiran lebuh raya dan sungai dilaksanakan secara terkawal serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Kawasan kerja tanah, cerun dan kawasan potongan tanah perlu mematuhi Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimen (ESCP) seperti membina perangkap kelodak, penanaman rumputdan perangkap kelodak bagi mengelakkan hakisan tanah mengalir secara terus ke sistem perparitan dan sungai yang berpotensi mengakibatkan gangguan kepada sistem tersebut.

“Sistem perparitan juga hendaklah disediakan mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button