POLITIK

PH bermesyuarat 8 Ogos bincang keputusan PRN Johor, Negeri Sembilan

BUKIT MERTAJAM – Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat 8 Ogos ini bagi meneliti punca kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan PRN akan datang.

Menurut Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mesyuarat berkenaan sebenarnya ditetapkan sebelum PRN Johor dan Negeri Sembilan berlangsung, sebagai sebahagian daripada persiapan awal sekiranya PRU16 dan PRN luar jangkaan.

“Setakat ini kita tidak berbincang apa-apa lagi. Kebetulan atau bukan kebetulan, PH akan bermesyuarat pada 8 Ogos seperti yang ditetapkan sebelum PRN Johor dan Negeri Sembilan lagi.

“Ia sebagai kesinambungan persiapan awal untuk menghadapi kemungkinan PRU dan PRN yang diadakan lebih awal daripada sepatutnya.

“Kita akan meneliti sebab musabab keputusan PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan, serta mengatur strategi gerak kerja yang baharu, termasuk memperhebatkan penggunaan media sosial untuk membawa mesej-mesej penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen AMANAH Pulau Pinang, di sini hari ini, lapor HM Online.

Ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRN Negeri Sembilan, Kon Yeow berkata, ia menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju politik negara.

Katanya, di Pulau Pinang, kerajaan negeri akan memberi tumpuan untuk mengembalikan fokus pengundi kepada prestasi pentadbiran, penyampaian kerajaan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu pengundi menilai kita berdasarkan pencapaian, bagaimana kita membantu rakyat serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Adakah semua ini tidak penting lagi? Itu yang kita mahu rakyat sendiri menilai. Kita percaya semua itu masih penting.

“Oleh itu, kita akan meneruskan usaha membangunkan Pulau Pinang di samping mengatur strategi bagi memastikan kita dapat mengekalkan pemerintahan di negeri ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan politik perkauman menjejaskan keyakinan pelabur, beliau berkata, perkembangan politik semasa sememangnya menimbulkan persoalan mengenai hala tuju negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button