Program MADANI Kita perkasa penyampaian maklumat tepat kepada rakyat
SHAH ALAM – Program MADANI Kita (PMK) akan menjadi platform kerajaan dalam memberikan kefahaman kepada rakyat mengenai isu semasa sekali gus memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada semua.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain dijadikan platfom bagi membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan lebih dekat dengan masyarakat, program itu turut berperanan memberi pemahaman tentang dasar dan inisiatif kerajaan secara lebih jelas, lapor BERNAMA.
“Contohnya berhubung laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), anggotanya bukanlah terdiri daripada orang politik.
“Penerangan berhubung isu berkenaan perlu menggunakan ayat yang mudah untuk rakyat faham… biar rakyat faham apa yang berlaku dalam TH,” katanya ketika berucap merasmikan PMK Bersama-sama Komuniti Kota Raja di Dewan MBSA Seksyen 28, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri di bawah satu bumbung dalam usaha membawa perkhidmatan yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Pengisian program hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti yang turut disusun termasuk perlawanan bola sepak, pertandingan e-sukan serta aktiviti kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian warisan masyarakat di Selangor,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









