Nirmal Purja maut bersama sembilan anggota ekspedisi di Broad Peak
SKARDU – Pendaki terkenal dunia, Nirmal Purja, 43, bersama sembilan lagi anggota ekspedisinya disahkan terkorban dalam kejadian runtuhan salji ketika mendaki Broad Peak setinggi 8,047 meter di banjaran Karakoram, utara Pakistan.
Syarikat miliknya, Elite Expeditions, mengesahkan tragedi itu menerusi kenyataan di media sosial selepas hubungan dengan ekspedisi antarabangsa yang diketuai Purja terputus susulan runtuhan salji pada Khamis lalu.
“Dengan rasa amat sedih dan dukacita, kami mengesahkan Nirmal Purja terkorban secara tragis akibat runtuhan salji di Broad Peak. Kami juga menerima pengesahan bahawa ahli ekspedisi lain turut tidak terselamat,” menurut kenyataan itu.
Operasi membawa keluar mangsa kini berdepan cabaran cuaca buruk dan bentuk muka bumi yang sukar. Setakat ini, empat mayat berjaya ditemukan, manakala pencarian melalui udara, darat dan sistem kedudukan global (GPS) masih diteruskan.
Purja, yang dikenali sebagai Nimsdai, merupakan bekas anggota Briged Gurkha Britain dan terkenal sebagai pendaki profesional selepas mencipta pelbagai rekod, termasuk menjadi individu pertama mendaki 50 puncak melebihi 8,000 meter.
Purja mula mendapat perhatian dunia pada 2019 apabila berjaya menawan kesemua 14 gunung tertinggi dunia yang melebihi 8,000 meter dalam tempoh 189 hari, sekali gus memecahkan rekod terdahulu lebih tujuh tahun.
Cabaran itu menjadi fokus dokumentari Netflix berjudul 14 Peaks: Nothing Is Impossible.

Purja, 43, memulakan pendakian itu dengan menawan Annapurna pada 23 April 2019, sebelum mendaki Everest pada Mei dan K2 pada Julai. Kesemua gunung itu terletak di zon yang dikenali sebagai “zon maut”.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah serta kerajaan Pakistan turut merakamkan ucapan takziah, manakala tragedi itu mengundang kesedihan dalam kalangan komuniti pendaki antarabangsa.
Pengembara Britain, Bear Grylls memberikan penghormatan kepada Purja menerusi Instagram dengan menulis: “Berita yang menyayat hati buat ramai pendaki di seluruh dunia yang mengenali lelaki luar biasa ini. Kami tidak akan melupakan Nims dan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.”
Purja sebelum ini membantu bekas bintang program realiti Made in Chelsea, Spencer Matthews, mencari mayat adiknya, Michael Matthews, rakyat Britain termuda yang berjaya menawan Gunung Everest sebelum dilaporkan hilang pada 1999.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















