BERITA SEMASA

Pertubuhan hak asasi antarabangsa gesa Malaysia tangguh rancangan hantar balik Rohingya

CYBERJAYA – Lima pertubuhan hak asasi antarabangsa menggesa Malaysia supaya menangguhkan rancangan menghantar pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar kerana risiko penganiayaan dan genosid yang masih dihadapi di negara berkenaan.

Gesaan itu dibuat menerusi satu kenyataan bersama oleh Nationality For All, Institute on Statelessness and Inclusion, Global Movement Against Statelessness, Asia Pacific Refugee Rights Network, serta Statelessness and Dignified Citizenship Coalition Asia Pacific.

Kenyataan itu menyebut, Akta Kewarganegaraan Myanmar 1982 secara sistematik mengecualikan etnik Rohingya daripada kewarganegaraan, sekali gus menjadikan keseluruhan komuniti itu tidak bernegara dan membuka ruang kepada penganiayaan terhadap mereka.

Mereka turut berkata junta tentera Myanmar masih meneruskan keganasan meluas terhadap orang awam, manakala rangka kerja undang-undang yang mendiskriminasi golongan Rohingya dengan menafikan hak kewarganegaraan mereka masih kekal berkuat kuasa.

“Sebarang usaha untuk mengusir atau menghantar pulang etnik Rohingya ketika ini akan mendedahkan mereka kepada risiko genosid, penganiayaan, penahanan, penyeksaan dan pelbagai lagi pencabulan hak asasi manusia yang serius, sekali gus melanggar prinsip ‘non-refoulement’ di bawah undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan bersama itu, hari ini.

Dalam kenyataan sama, kumpulan itu turut menggesa Malaysia supaya memulihkan akses tanpa gangguan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi tujuan pendaftaran pelarian dan perlindungan antarabangsa.

Mereka turut menggesa pengusiran secara paksa keluarga Rohingya dihentikan serta menyiasat corak pengusiran yang didakwa bersifat diskriminasi oleh pemilik rumah dan pihak berkuasa tempatan.

Gesaan itu dipercayai merujuk kepada pengusiran beberapa keluarga Rohingya dari sebuah kampung di Penaga, Pulau Pinang, awal minggu ini.

“Kami menyeru negara-negara anggota ASEAN memastikan penyertaan yang bermakna wakil-wakil Rohingya dalam semua perbincangan serantau mengenai masa depan mereka.

“Kami juga menggesa ASEAN untuk menolak sebarang tindakan di peringkat serantau yang mengiktiraf junta tentera Myanmar atau memudahkan kepulangan Rohingya sebelum wujud syarat bagi kepulangan secara sukarela, selamat, bermaruah dan berasaskan hak, termasuk pemulihan kewarganegaraan Rohingya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima pulang kumpulan pertama seramai 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button