Gabungan NGO Melayu Negeri Sembilan gesa dalang isu Tabung Haji diheret ke muka pengadilan
SEREMBAN – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Negeri Sembilan menggesa semua pihak yang terlibat dalam isu penyelewengan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan integriti institusi yang menguruskan simpanan umat Islam itu terus terpelihara.
Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Malaysia, Negeri Sembilan yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Al Abrar, Che Rus Husin berkata, isu berkenaan amat dikesalkan kerana TH merupakan institusi yang menguruskan simpanan rakyat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
“Isu penyelewengan Tabung Haji memang sangat dikesalkan kerana ia simpanan rakyat Islam untuk tunai haji. Semua pihak terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Che Rus menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH sebelum ini sebagai langkah yang tepat bagi mengelakkan berlaku pengeluaran simpanan secara panik dalam kalangan pendeposit.
Menurut beliau, tindakan berkenaan memberi ruang kepada proses pemulihan dan penambahbaikan TH dilaksanakan terlebih dahulu sebelum laporan berkenaan didedahkan kepada umum.
Katanya, usaha pemulihan yang dilaksanakan kerajaan membolehkan kira-kira 75 peratus daripada syor penambahbaikan TH berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sehingga institusi itu mampu mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
“Kami ingin zahirkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana 75 peratus daripada syor tambah baik TH telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun ini sehingga TH boleh umum agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025,” katanya.
Kelmarin, RCI mengenai pengurusan dan operasi TH mendapati beberapa keputusan penting institusi itu termasuk berkaitan agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dipengaruhi unsur politik.
Menurut laporan yang diterbitkan, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat selain membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.
Selain itu, RCI turut mengesyorkan usaha mendapatkan semula bonus yang diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan TH Properties Sdn. Bhd. selepas bayaran berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Laporan itu memaklumkan bonus berjumlah RM1.148 juta dibayar kepada Lembaga Pengarah TH Properties bagi tahun 2017, manakala RM1.045 juta lagi dibayar pada 2018.
Menurut laporan sama, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 sekiranya piawaian pelaporan kewangan digunakan sepenuhnya, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















