AGYM tembus pasaran China hasil bimbingan GTG MARA, sasar ribuan rangkaian farmasi
SEMENYIH – Produk nutrisi sukan keluaran syarikat Bumiputera, AGYM Nutrition Sdn. Bhd., melakar sejarah apabila berjaya menembusi pasaran China menerusi penghantaran kontena pertama ke rangkaian Guoda Pharmacy, sekali gus membuka laluan ke lebih 1,500 cawangan farmasi di negara itu hasil sokongan Program Gate to Global (GTG) MARA.
Majlis pelepasan penghantaran kontena pertama itu disempurnakan Timbalan Pengarah Keusahawanan MARA, Ir. Dr Mahzan Teh di ibu pejabat AGYM Nutrition di sini, semalam.
Menurut Dr Mahzan, kejayaan itu membuktikan program GTG bukan sekadar membuka akses kepada pasaran antarabangsa, malah berjaya melahirkan usahawan Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat global.
“Sehingga kini, program GTG telah melahirkan lebih 166 usahawan Bumiputera dengan jumlah transaksi jualan melebihi RM1.1 bilion.
“Kejayaan AGYM membuktikan produk keluaran usahawan Bumiputera mempunyai standard tinggi dan mampu memenuhi keperluan pasaran antarabangsa,” katanya.
Baca juga : MARA saring 60 usahawan ke pasaran GCC dengan kerjasama Lulu Hypermarket
Menurut Dr Mahzan lagi, penghantaran pertama itu merupakan manifestasi kepada kerjasama strategik yang bermula sejak penyertaan AGYM dalam GTG pada 2019 sebelum syarikat tersebut memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Guoda Pharmacy pada 2025.
Katanya, produk AGYM kini bukan sahaja berada di pasaran Singapura, Brunei, Vietnam, Dubai, London, Kazakhstan dan India, malah dijangka terus mengukuhkan kedudukan di China menerusi rangkaian farmasi terbesar negara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan AGYM Nutrition, Abdul Hafiz Abdul Khalim berkata, penghantaran berkenaan merupakan pencapaian terbesar syarikat sepanjang 11 tahun penubuhannya.
Menurutnya, produk protein Titan Whey keluaran AGYM bakal menjadi antara jenama protein Malaysia yang dipasarkan secara meluas di ribuan lokasi Guoda Pharmacy di China.
“Ini bukan sekadar kejayaan perniagaan, tetapi bukti produk keluaran syarikat Bumiputera mampu meraih kepercayaan pengguna antarabangsa.
“Penghantaran pertama ini bernilai RM660,000 dan menjelang penghujung tahun ini, kami menyasarkan pembekalan meningkat kepada lima hingga enam kontena setiap bulan dengan nilai jualan sekitar RM4 juta sebulan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan menembusi pasaran China dicapai selepas syarikat memenuhi pelbagai syarat pensijilan antarabangsa termasuk Pensijilan Halal JAKIM, GMP, HACCP, ISO 9001, ISO 22000, MESTI, kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (USFDA) serta pendaftaran General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC).
Tambahnya, proses mendapatkan kelulusan GACC mengambil masa kira-kira sembilan bulan berikutan standard kawal selia China yang amat ketat.
Dalam pada itu, beliau berharap kejayaan AGYM menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk berani meneroka pasaran antarabangsa.
“China ialah antara pasaran pengguna terbesar dunia. Kami mahu membuktikan produk Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah diterima pengguna di negara itu dan seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat global,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















