LUAR NEGARA

Kempen boikot filem Spider-Man baharu di Lubnan

BEIRUT – Sebuah kempen anti-normalisasi di Lubnan menggesa orang ramai memboikot filem Spider-Man: Brand New Day yang mula ditayangkan di negara itu kerana dihasilkan penerbit yang secara terbuka menyokong Israel.

Menurut kenyataan kempen tersebut, orang ramai diminta tidak membeli tiket filem berkenaan kerana sebarang sokongan terhadap produksi membabitkan individu pro-Israel disifatkan sebagai sokongan tidak langsung terhadap pendirian politik mereka.

Kempen itu turut menggesa masyarakat berpegang kepada slogan ‘Boikot adalah satu pendirian… dan pendirian anda membawa perubahan’, selain menyeru penonton tidak menyumbang kepada kejayaan komersial filem berkenaan.

Mereka menegaskan tindakan itu selaras dengan pendirian menolak usaha normalisasi dengan Israel serta sebarang bentuk sokongan kepada individu atau organisasi yang menyokong dasar negara tersebut., lapor Royanews.tv

Kempen berkenaan mendakwa penerbit filem, Avi Arad yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Marvel Entertainment & Marvel Studios itu secara terbuka mempertahankan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Arad yang dilahirkan di Ramat Gan, Israel sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat, sebelum ini mengkritik pemimpin Demokrat Amerika Syarikat, Chuck Schumer, selepas senator itu menggesa pilihan raya baharu di Israel dan mengkritik kepimpinan Netanyahu.

Kempen berkenaan turut memaklumkan pihaknya akan terus memperhebat usaha menentang normalisasi Israel melalui aktiviti kebudayaan, akademik dan profesional.

Awal bulan ini, kumpulan berkenaan bersama Kementerian Kesihatan Lubnan dan Persatuan Doktor Lubnan berjaya menggesa pembatalan penyertaan seorang doktor Israel, Sharona Ross, dalam sebuah persidangan perubatan di negara berkenaan.

Mereka turut mengaitkan gesaan memboikot filem itu dengan pencerobohan jahat Israel yang masih berlarutan di Semenanjung Gaza dan selatan Lubnan.

Menurut laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 4,000 orang telah terbunuh dan sekitar 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak konflik kembali memuncak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button