120 kemalangan maut akibat pemandu mabuk, pengaruh dadah dalam tempoh 4 tahun
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 120 kes kemalangan maut dalam tempoh empat tahun dari 2023 hingga Jun tahun ini yang membabitkan pemandu mabuk dan individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, daripada jumlah itu, 94 kes membabitkan penyalahgunaan dadah manakala 26 kes lagi berpunca daripada pemandu mabuk, lapor Harian Metro.
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi mengesan pemandu mabuk dan yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Memang setiap minggu saya keluarkan arahan kepada semua pegawai dan anggota JSPT untuk sentiasa melaksanakan Op Mabuk, tiada kontinjen yang terkecuali.
“Berdasarkan statistik JSPT, kami dapati kemalangan akibat pemandu mabuk banyak berlaku, jadi kami tingkatkan lagi operasi penguatkuasaan termasuk sekatan jalan raya (SJR) dan ramai pengguna jalan raya yang masih tidak sedar bahawa bahaya memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah.
“Ini maknanya sama ada kesalahan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah ini berpunca daripada pemandu sendiri ataupun undang-undang kita ini masih dianggap ringan hingga kesalahan mabuk dan pengaruh dadah masih terus berlaku,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JSPT, sebanyak 1,634 operasi dilaksanakan melalui Op Mabuk sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan 949 tangkapan.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 692 operasi dengan 930 tangkapan pada tempoh sama tahun lalu.
“Lima kontinjen yang mencatatkan tangkapan tertinggi dalam Op Mabuk ini adalah Kuala Lumpur dengan 268 individu, Johor dengan 223 individu, Selangor dengan 182 individu, Sabah dengan 95 individu dan Sarawak dengan 62 individu.
“JSPT tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi mengakibatkan kemalangan maut dan kehilangan nyawa serta kehilangan harta benda kepada pengguna-pengguna jalan raya yang tidak bersalah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, JSPT sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung penggunaan kit ujian air liur bagi mengesan pemandu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















