Itali pilih Pirlo bina semula Azzurri
KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak Itali, Andrea Pirlo dijangka diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan negara itu seawal minggu depan selepas mencapai persetujuan mengenai kontrak selama empat tahun.
Menurut laporan Football Italia, bekas pemenang Piala Dunia itu bersetuju menerima kontrak bernilai €1.5 juta atau hampir RM7 juta semusim, manakala pengumuman rasmi pelantikannya dijangka dibuat pada Isnin atau Selasa.
Pirlo muncul sebagai calon utama untuk mengendalikan skuad Azzurri selepas dua pilihan awal, Carlo Ancelotti dan Pep Guardiola, dilaporkan menolak tawaran yang dikemukakan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC).
Laporan La Gazzetta dello Sport, Sky Sport Italia dan Calciomercato turut menyatakan proses pelantikan Pirlo berjalan lancar susulan hubungan rapatnya dengan barisan kepimpinan teknikal FIGC yang turut dibarisi bekas rakan sepasukannya di AC Milan.
Bekas pemain tengah Juventus itu dikatakan terus menerima tawaran sebaik dihubungi pengarah teknikal baharu, Paolo Maldini serta penasihat khas, Leonardo.
Selain itu, tuntutan gaji Pirlo yang lebih rendah menjadikannya pilihan lebih sesuai dari sudut kewangan berbanding Guardiola yang dikatakan menerima gaji sekitar €20 juta atau kira-kira RM93 juta semusim.
Pelantikan Pirlo dijangka membuka lembaran baharu buat skuad Azzurri dalam usaha melakukan rombakan di peringkat kejurulatihan di bawah kepimpinan teknikal Maldini.
Bagaimanapun, sebelum pengumuman rasmi dibuat, Pirlo terlebih dahulu perlu menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama dengan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai United FC yang dikendalikannya sejak musim panas tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















