BERITA SEMASA

Kerajaan arah UNHCR hentikan sementara pendaftaran pelarian

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara semua urusan pendaftaran pelarian bagi memberi laluan kepada penyusunan semula sistem pengurusan melalui pelaksanaan program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Timbalan Menteri Luar, Lukanisman Awang Sauni berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memastikan urusan pendaftaran dan pengurusan pelarian di negara ini dilaksanakan secara lebih sistematik di bawah kawal selia kerajaan.

“Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan menyelaras data pelarian dengan lebih teratur, termasuk bagi tujuan pengesahan identiti, pemantauan serta kawal selia tanpa bergantung kepada rekod yang disimpan oleh mana-mana entiti asing,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara berhubung langkah kerajaan menangani isu pelarian Rohingya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau kerakyatan yang diiktiraf oleh Myanmar.

Katanya, proses pendaftaran di bawah DPP akan dilaksanakan mengikut prosedur yang ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak didaftarkan, selain mengelakkan penyalahgunaan sistem oleh pendatang tanpa izin.

Dalam masa sama, Malaysia akan terus menggunakan pendekatan pelbagai hala dengan Myanmar dan negara anggota ASEAN bagi mendesak penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu pelarian Rohingya.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan tidak boleh terus menanggung beban pengurusan pelarian tanpa penyelesaian jangka panjang, selain perlu mengambil kira kepentingan masyarakat tempatan.

Mengulas isu lain, Lukanisman berkata, kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini ditempatkan di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang menggunakan kapal tentera laut selepas semua urusan berkaitan diselesaikan, susulan kesediaan Myanmar menerima semula rakyatnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button