BERITA SEMASA

Universiti perlu jadi medan dialog global – Dr Zambry

PUTRAJAYA – Institusi pengajian tinggi perlu terus berfungsi sebagai medan pertemuan idea, dialog ilmiah dan perbahasan berteraskan bukti dalam usaha memperkukuh kefahaman global mengenai Islam, kolonialisme dan identiti Muslim dalam dunia yang semakin saling berkait.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, universiti tidak boleh berkembang dalam keadaan terasing, sebaliknya perlu menjadi ruang terbuka untuk sarjana daripada pelbagai latar belakang pemikiran bertukar pandangan secara matang dan saling menghormati.

“Kami percaya universiti akan terus berkembang apabila menjadi medan pertemuan pelbagai idea, tempat para ilmuwan daripada latar belakang pemikiran yang berbeza bertemu dalam suasana terbuka, saling menghormati dan berbahas secara ilmiah.

“Ilmu pengetahuan tidak berkembang dalam keadaan terasing, sebaliknya melalui dialog merentasi sempadan negara, disiplin ilmu dan pelbagai perspektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Program Syarahan Umum oleh Profesor Dr Joseph A Massad bertajuk Muslim Identity in a Globalised World, di sini hari ini.

Menurut beliau, kehadiran Prof Massad dari Columbia University, Amerika Syarikat memberi peluang kepada komuniti akademik tempatan untuk mendengar pandangan seorang sarjana yang banyak menulis mengenai kolonialisme, khususnya konsep settler colonialism selain isu representasi Islam dan Islamofobia.

Zambry berkata, beliau sendiri mencadangkan supaya Prof Massad dijemput ke Malaysia selepas mendengar pembentangannya dalam Persidangan Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) baru-baru ini.

Katanya, karya akademik Prof Massad menawarkan kerangka penting untuk memahami pelbagai konflik global dan realiti sejarah semasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa Prof Massad sedang menyiapkan sebuah karya baharu yang dijangka menghimpunkan penyelidikan mendalam berkaitan kolonialisme.

Dalam ucapannya, Zambry menegaskan bahawa perbahasan akademik perlu dilakukan secara beradab, berasaskan bukti dan menghormati perbezaan pandangan.

“Kami menggalakkan perdebatan yang matang, berteraskan bukti, dijalankan secara beradab serta menghormati perbezaan pandangan.

“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita mungkin berbeza pendapat dalam banyak perkara, tetapi pada masa yang sama kita juga berkongsi banyak persamaan,” katanya.

Menurut beliau, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan media sosial, masyarakat mudah terdedah kepada pelbagai pandangan, namun budaya saling menghormati perlu terus dipelihara.

Program syarahan umum itu menghimpunkan ahli akademik, pelajar, pemimpin universiti serta pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mendengar pandangan Prof Massad mengenai cabaran identiti Muslim dalam dunia globalisasi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman serta Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof Emeritus Dr Azman Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button