JENAYAH & MAHKAMAH

Koperal polis didakwa amang seksual anak usia 11 tahun, selepas dakwaan rogol anak sulung

AMPANG – Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya yang berusia 11 tahun 10 bulan ketika kejadian.

Tertuduh berusia 35 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan sebagai bapa kandung di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara pukul 9 malam hingga 10 malam pada 21 Mei dan kira-kira pukul 2 petang keesokan harinya.

Lelaki yang kini digantung tugas itu didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes tersebut muncul ketika tertuduh turut berdepan pertuduhan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana didakwa merogol anak sulungnya yang ketika kejadian berusia 18 tahun, memetik laporan Sinar Harian.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh didakwa mengganggu mangsa selepas dibebaskan dengan ikat jamin dalam kes terdahulu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dia akan mengganggu atau mencari mangsa sekali lagi.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz memohon jaminan diberikan dengan alasan tertuduh tidak lagi tinggal bersama kedua-dua mangsa, bersedia mematuhi syarat tambahan mahkamah serta sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan ikat jamin selepas mengambil kira aduan gangguan terhadap mangsa serta mendapati ibu tertuduh yang menawarkan diri sebagai penjamin tinggal di Ipoh dan tidak menetap bersama tertuduh di Kuala Kubu Bharu.

Hakim Norshila Kamarudin memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin sehingga pihak pembelaan mengemukakan penjamin yang benar-benar mampu memastikan kehadirannya ke mahkamah dan mematuhi syarat tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk serahan dokumen berkaitan status penjamin, jika ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button