Jenayah & Mahkamah

Rakan sebilik maut dikelar sebab bising

MELAKA – Berang dengan bunyi bising seorang lelaki warga Myanmar bertindak kejam dengan mengelar leher rakannya menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah asrama pekerja di Jalan Pantai Puteri, di sini, pada petang semalam

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, pergaduhan itu dipercayai berpunca apabila suspek yang berusia 28 tahun dan sedang mabuk berang mangsa berusia 35 tahun memasang muzik dengan kuat.

Katanya, kejadian itu disedari penyelia asrama berusia 49 tahun yang mendapati tiga warga Myanmar sedang bergaduh di dalam bilik asrama.

“Siasatan awal mendapati, penyelia terbabit memaklumkan setiba di lokasi kejadian, dia mendapati mangsa dalam keadaan berdarah dan mengalami luka di leher. Penyelia itu terus merampas pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu di tangan suspek.

“Dia kemudian menyuruh pemandu kilang untuk membawa mangsa ke sebuah klinik swasta di Tangga Batu untuk dapatkan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Melaka.

“Polis Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menahan suspek di asrama berkenaan pada jam 6.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku terlibat dalam pergaduhan itu dan dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button