RENCANA

Kerjasama G Tech Plus-UPM pacu revolusi pendidikan perubatan era AI menerusi Makmal Bionic Imersif

KECERDASAN buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) bukan lagi teknologi masa hadapan, sebaliknya kini menjadi pemacu utama transformasi pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Dalam bidang perubatan yang menuntut ketepatan, kemahiran praktikal dan pembelajaran berterusan, penggunaan teknologi imersif dilihat mampu mengubah landskap latihan bakal doktor secara menyeluruh.

Atas kesedaran itu, kerjasama strategik antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan G Tech Plus Sdn Bhd menerusi penubuhan Makmal Bionic Imersif di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM membuka lembaran baharu kepada ekosistem pendidikan perubatan negara.

makmal
Makmal Bionic Imersif di UPM bakal memberi manfaat kepada pelajar perubatan di universiti berkenaan dalam aspek pendidikan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif G Tech Plus, Dr Nurliza Md Azzam berkata, makmal tersebut bukan sekadar sebuah ruang pembelajaran berteknologi tinggi, malah mewakili perubahan paradigma terhadap cara ilmu perubatan disampaikan kepada generasi baharu.

Menurut beliau, dunia kini sedang memasuki era baharu apabila teknologi bukan lagi hanya membantu proses pembelajaran, sebaliknya mentransformasikan sepenuhnya pengalaman seseorang pelajar.

“Komputer peribadi mengubah cara manusia bekerja, telefon pintar mengubah cara kita berhubung dan kini kecerdasan buatan berpotensi mengubah sepenuhnya cara manusia belajar.

“Kita percaya pendidikan masa depan bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada kuliah dan buku teks, tetapi kepada pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, realistik dan diperibadikan mengikut keperluan setiap pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Makmal Bionic Imersif di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Turut hadir Dekan FPSK, Prof Dr Normala Ibrahim bersama tenaga pengajar akademik, penyelidik serta wakil-wakil industri.

Belajar seperti doktor sebenar

Menurut Dr Nurliza, pembangunan makmal tersebut bermula daripada satu persoalan asas iaitu apakah yang benar-benar diperlukan oleh seorang pelajar perubatan untuk menjadi doktor yang kompeten.

makmal
Antara contoh pembelajaran dalam rawatan pesakit yang boleh dipelari pelajar perubatan di makmal ini. 

Ujarnya, jawapan kepada persoalan tersebut bukan sekadar menguasai teori, tetapi perlu berlatih secara berulang dalam situasi yang menyerupai dunia sebenar.

“Pelajar perlu diberi peluang melakukan kesilapan dalam persekitaran yang selamat, belajar daripadanya dan mengulangi latihan sehingga kemahiran itu menjadi naluri. Dengan kaedah sebegini, seseorang akan menjadi doktor yang lebih kompeten dan selamat apabila mereka lulus dan keluar ke dunia sebenar.

“Itulah pendekatan yang kami bawa melalui Makmal Bionic Imersif,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara teknologi utama yang diperkenalkan ialah DrMartinVR iaitu platform simulasi perubatan berasaskan realiti maya yang membolehkan pelajar menjalani simulasi prosedur klinikal secara interaktif.

Menerusi teknologi itu, pelajar tidak lagi hanya membaca langkah-langkah rawatan dalam buku teks, sebaliknya dapat mengalami sendiri situasi sebenar, membuat keputusan klinikal serta memahami tekanan yang dihadapi oleh seorang doktor.

makmal
DrMartinVR iaitu platform simulasi perubatan berasaskan realiti maya yang membolehkan pelajar menjalani simulasi prosedur klinikal secara interaktif.

Selain itu, penggunaan teknologi Augmented Reality (AR) membolehkan pembelajaran anatomi menjadi lebih mudah difahami apabila organ manusia dipaparkan dalam bentuk tiga dimensi secara masa nyata.

“Pelajar bukan lagi sekadar menghafal struktur jantung atau organ manusia, tetapi dapat melihat, memerhati dan memahami fungsinya secara lebih mendalam,” katanya.

AI sebagai pembantu pembelajaran

Dr Nurliza berkata, antara inovasi paling signifikan dalam makmal tersebut ialah pembangunan AI Tutor iaitu sistem tutor pintar yang dibangunkan khusus berdasarkan silibus dan buku rujukan rasmi fakulti.

Beliau berkata, sistem itu berbeza daripada aplikasi AI awam kerana tidak menggunakan maklumat daripada internet secara terbuka.

lab
Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (dua dari kiri) bersama Dekan FPSK, Dr Normala Ibrahim (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif G Plus Tech Sdn Bhd, Dr Nurliza Md Azzam (kiri) ketika majlis pelancaran di FSPK, UPM. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Jawapan yang diberikan adalah berdasarkan kandungan yang disahkan oleh pihak fakulti sendiri.

“Ini memastikan pelajar memperoleh maklumat yang tepat, selaras dengan kurikulum universiti dan boleh diakses pada bila-bila masa,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut membangunkan Private GPT iaitu sistem AI tertutup yang hanya menggunakan data milik institusi tanpa menghantar sebarang maklumat ke internet.

Pendekatan itu, katanya, penting bagi memastikan kerahsiaan data akademik dan maklumat klinikal sentiasa terpelihara.

Pendidikan lebih peribadi

Tambah Dr Nurliza, semua teknologi tersebut disepadukan menerusi Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) berasaskan AI yang mampu menyesuaikan kaedah pembelajaran mengikut prestasi dan keperluan individu.

Menurut beliau, setiap pelajar mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza, justeru pendekatan pembelajaran juga tidak seharusnya sama.

“AI membolehkan pengalaman pembelajaran menjadi lebih diperibadikan supaya setiap pelajar dapat berkembang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

makmal
Dr Nurliza memberi taklimat mengenai aplikasi Private AI yang ditawarkan G Tech Plus kepada Dr Ahmad Farhan.

Beliau menegaskan, kemunculan AI bukan bertujuan menggantikan pensyarah atau buku teks, sebaliknya memperkasakan kedua-duanya agar proses pengajaran menjadi lebih berkesan.

“Pensyarah kekal menjadi tunjang utama pendidikan, manakala AI bertindak sebagai pembantu yang memperluaskan akses kepada ilmu dan latihan.

“Kita mahu teknologi menghidupkan kandungan pembelajaran, bukannya menggantikannya,” katanya.

Masa depan pendidikan perubatan

Dr Nurliza berpandangan universiti masa hadapan tidak lagi diukur berdasarkan saiz perpustakaan atau jumlah buku yang dimiliki, tetapi melalui kemampuan menyediakan pengalaman pembelajaran yang hampir menyamai situasi sebenar.

Beliau berkata, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri perlu terus diperkukuhkan supaya Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu membangunkan inovasi pendidikan sendiri.

makmal
Kerjasama strategik antara UPM dan G Tech Plus menerusi penubuhan Makmal Bionic Imersif di FPSK membuka lembaran baharu kepada ekosistem pendidikan perubatan negara.

Dengan pelancaran Makmal Bionic Imersif di UPM, beliau yakin negara sedang melakar satu lagi langkah penting ke arah memperkukuh pendidikan perubatan digital.

“Ia bukan sekadar sebuah makmal yang dipenuhi teknologi moden.

“Ia merupakan permulaan kepada satu era baharu dalam pendidikan perubatan negara, di mana pelajar bukan hanya belajar melalui pembacaan, tetapi memperoleh pengalaman sebenar sebelum mereka melangkah ke dunia klinikal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button