POLITIK

Bertanding di Linggi bukti Tok Min bukan pemimpin selesa di zon selamat – Edy Noor

SEREMBAN – Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meninggalkan kerusi tradisinya di Sikamat untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi disifatkan sebagai langkah berani bagi menambah satu lagi kerusi kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, tindakan Aminuddin itu membuktikan beliau sanggup mengambil risiko dengan bertanding di kubu kuat lawan, sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, Aminuddin tidak memilih jalan mudah dengan mempertahankan kerusi Sikamat yang disandangnya sejak beberapa penggal, sebaliknya memberi laluan kepada calon baharu untuk meneruskan legasi di kawasan berkenaan.

“MB Tok Min boleh sahaja kekal bertanding di Sikamat kerana beliau telah membina kubu yang sangat kuat di situ.

“Tetapi beliau memilih untuk bertanding di Linggi yang merupakan kerusi dimenangi UMNO sejak sekian lama. Ini menunjukkan keberanian beliau mengambil risiko demi mendapatkan satu lagi kerusi untuk PH,” katanya dalam temu bual yang disiarkan menerusi pod siar Jang Studio semalam.

negeri sembilan
Screenshot

Edy Noor berkata, beliau yakin pengundi di Linggi bersedia menerima Aminuddin berdasarkan rekod pembangunan yang dibawa kerajaan negeri dan sumbangan Ahli Parlimen PH di kawasan tersebut.

Katanya, pelbagai projek pembangunan termasuk berkaitan pelabuhan serta kemudahan lain diyakini mampu meyakinkan pengundi untuk memberi mandat kepada Aminuddin.

Dalam pada itu, beliau berkata, PH meletakkan calon di kesemua 36 kerusi DUN sebagai bukti gabungan berkenaan serius menawarkan pentadbiran yang stabil kepada rakyat Negeri Sembilan.

Menurutnya, sokongan yang diterima PH pada hari penamaan calon turut mencerminkan perpaduan pelbagai kaum apabila penyokong Melayu, Cina dan India hadir memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

“Sokongan itu menunjukkan semangat Malaysia yang sebenar. Kehadiran semua kaum membuktikan PH terus mendapat dokongan masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.

Beliau turut menyeru pengundi Negeri Sembilan supaya pulang mengundi pada 1 Ogos ini bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button