Bekas menteri agama serah jam tangan Rolex kepada pembida dari Johor
KUALA LUMPUR – Jam tangan jenama Rolex milik bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilelong untuk mengutip derma Palestin semalam mencapai harga RM135,000.
Dr. Zulkifli dalam hantaran di Facebooknya petang ini mengumumkan telah menyerahkan jam tangan yang dihadiahkan kepada beliau oleh Raja Arab Saudi itu kepada seorang pembida dari Pasir Gudang, Johor.
“Alhamdulillah telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang “Hamba Allah” daripada Pasir Gudang, Johor,” katanya.
Jam tangan yang dimiliki beliau sejak 2017 itu dilelong semalam dengan harga permulaan RM30,000 sebagai mengumpul derma untuk disumbangkan kepada tabung kemanusiaan rakyat Palestin.
Zulkifli berkata, dalam pertemuan dengan pembida di pejabatnya hari ini, beliau sempat bertanyakan niat lelaki berkenaan yang sanggup membida dengan harga begitu tinggi.
“Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin,” katanya.
Menurut Zulkifli, beliau akan menyerahkan sendiri RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman, Jordan melalui Muslim Care Malaysia.
Manakala baki RM35,000 akan diserahkan bermula kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction.
“Sehingga saat ini, Palestin masih berdarah. Terbaharu saya terima info, kem pelarian Palestin di Jabalia pula dibom tentera Zionis Israel.
“Saya sayang jam ini tetapi saya lebih sayang saudara kita di Palestin. Semoga ini menjadi sejuzuk kecil saksi pengorbanan kecil kami untuk Palestin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








