Berita Semasa

Masyarakat India harap PM beri cuti umum tambahan Depavali – PKR Kuala Selangor

CYBERJAYA – Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dapat mempertimbangkan cuti umum tambahan sehari bagi perayaan Deepavali, sama seperti hari perayaan lain di Malaysia.

Ketuanya, S. Thiban berkata, langkah itu secara langsung menunjukkan penghargaan kepada masyarakat India dan mengakui kepentingan mereka sebagai anggota masyarakat majmuk Malaysia.

“(Adalah) menjadi harapan besar masyarakat India supaya Perdana Menteri mempertimbangkan cuti umum tambahan sehari sepertimana diperuntukkan untuk perayaan lain sebagai tanda menghormati sentimen, pengorbanan dan kepentingan masyarakat India yang bakal menyambut perayaan Deepavali.

“(Dan) Sekiranya ia tidak dapat dipenuhi, saya mohon Perdana Menteri sekurang-kurangnya mempertimbangkan cuti tambahan khas untuk penjawat awam, IPTA dan sekolah bagi mereka yang berbangsa India untuk menyambut hari Deepavali,” kata Thiban dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Thiban berkata, beliau yakin dan percaya Perdana Menteri akan mempertimbangkan permintaan tersebut dan akan membuat satu pengumuman khas mengenainya kelak.

Dalam kenyataan yg sama, Thiban turut memohon supaya kerajaan mempercepatkan pembayaran Skim Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 sebelum perayaan Deepavali ini.

Katanya, pembayaran tersebut jika disegerakan akan dapat membantu meringankan beban kewangan orang ramai, terutamanya masyarakat India yang merayakan Deepavali pada 12 Nov nanti.

“Berbaki 12 hari sahaja untuk sambutan hari Deepavali namun realitinya masih ramai tidak mampu membuat persiapan mahupun membeli belah kerana berhadapan dengan beban kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika Perdana Menteri dapat meluluskan pembayaran STR fasa 4 sebelum perayaan Deepavali ia akan sekaligus meringankan beban majoriti golongan miskin tegar,” kata Thiban lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button