BERITA SEMASA

JTK Selangor serbu kondominium, kesan majikan jadikan kediaman awam asrama pekerja asing

SEPANG – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor melancarkan Ops Keluar di sebuah kondominium di Cyberjaya malam tadi bagi mengesan majikan yang dipercayai menjadikan kediaman awam sebagai penempatan pekerja warga asing tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Operasi bersepadu itu melibatkan kira-kira 96 pegawai dan anggota daripada beberapa agensi penguat kuasa termasuk JTK Selangor, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut sumber, operasi tersebut dijalankan susulan aduan penduduk yang mendakwa kawasan kediaman itu semakin dipenuhi pekerja warga asing sehingga menimbulkan kebimbangan berkaitan aspek keselamatan dan kebersihan.

Katanya, siasatan awal mendapati kebanyakan warga asing yang tinggal di kondominium berkenaan memiliki permit kerja yang sah.

“Bagaimanapun, tindakan majikan menjadikan unit kediaman awam sebagai asrama atau hostel pekerja masih tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

*”Majikan perlu mendapatkan kebenaran daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) selain memperoleh kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum sesebuah kediaman boleh dijadikan penempatan pekerja,”* katanya.

Beliau berkata, operasi itu turut bertujuan memastikan majikan mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penyediaan penginapan pekerja, selain mengelakkan penempatan warga asing di kawasan perumahan yang boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

Dalam operasi tersebut, pegawai penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pengenalan diri serta status pekerjaan penghuni warga asing yang berada di kondominium berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button