Mangsa kemalangan bakal terima pampasan, KEJARA diperkasa
PUTRAJAYA – Mangsa kemalangan jalan raya bakal menerima pampasan menerusi mekanisme baharu yang dicadangkan kerajaan selepas Jemaah Menteri bersetuju secara dasar untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pindaan itu bertujuan memastikan pesalah jalan raya bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda atau hilang kelayakan memandu, tetapi turut bertanggungjawab terhadap kesan perbuatan mereka kepada mangsa serta keluarga.
Beliau berkata, cadangan berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu dan turut melibatkan usaha memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).
“Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman, tetapi turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya kepada mangsa dan keluarga mangsa,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurut Anthony, jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan, sebaliknya akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta serta merit setiap kes.
“Antara faktor yang akan dipertimbangkan termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, jumlah kerugian yang ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, mekanisme pampasan itu tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada.
Anthony turut berkata, sistem KEJARA akan diperkasakan sebagai langkah pencegahan bagi mengenal pasti pemandu berisiko tinggi serta pesalah berulang.
“Penambahbaikan yang dicadangkan termasuk tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran, selain pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan,” katanya lagi.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aspek keadilan, akauntabiliti dan keselamatan jalan raya.
“Kerangka perundangan yang dibangunkan kelak bukan sahaja memberikan pembelaan sewajarnya kepada mangsa dan waris, tetapi memastikan pesalah bertanggungjawab atas tindakan mereka serta mengurangkan risiko kesalahan sama berulang,” katanya lagi.
Susulan persetujuan dasar tersebut, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memulakan proses penggubalan pindaan Akta 333 sebelum dikemukakan semula kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







