SUKAN

HSN 2026 sasar 5.3 juta penyertaan, tekankan teknologi digital dan AI

PUTRAJAYA – Hari Sukan Negara (HSN) 2026 menyasarkan penyertaan lebih 5.3 juta rakyat Malaysia menerusi pelbagai program sukan dan rekreasi yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sambutan HSN tahun ini membawa tema “Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)” selari dengan perkembangan semasa serta aspirasi menjadikan sukan sebagai budaya hidup rakyat.

taufiq johari
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Praperasmian HSN 2026 sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi bulan Julai 2026 di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.

HSN 2026 akan berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober secara serentak di seluruh negara, manakala pelaksanaan di Sarawak akan diadakan pada 16 hingga 18 Oktober.

Majlis perasmian peringkat kebangsaan pula dijadualkan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

HSN merupakan inisiatif KBS bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bersukan, selain membudayakan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat.

Selain itu, penganjurannya turut bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, memberi pengiktirafan kepada individu yang membangunkan sukan di peringkat akar umbi serta merancakkan pembangunan industri sukan negara.

Antara pengisian utama yang dirancang bagi HSN 2026 termasuk Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI serta segmen Malaysia Aktif dan Industri Sukan dengan penerapan elemen Gaya Hidup Rakan Muda seperti Rakan Aktif, Rakan Digital, Rakan Litar dan Rakan Niaga.

KBS menerusi JBSN turut akan melaksanakan pelbagai program bersama agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula Julai ini bagi mencipta momentum menjelang kemuncak sambutan HSN 2026.

Menurut KBS, pelaksanaan HSN sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI khususnya nilai kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan serta hala tuju Visi Sukan Negara 2030 bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button