BERITA SEMASA

Syed Saddiq bakal berlari hingga 170 kilometer, kumpul dana RM200,000 bantu penduduk Muar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal berlari sejauh antara 150 hingga 170 kilometer selama empat hari bagi mengumpul dana sebanyak RM200,000 untuk membantu golongan memerlukan di kawasan Parlimen Muar.

Program dikenali sebagai Larian Kesyukuran Muar itu akan bermula esok hingga Ahad, melibatkan laluan dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Laman Maharani, Muar.

Larian berkenaan dianjurkan beberapa hari selepas Syed Saddiq dibebaskan daripada semua pertuduhan oleh Mahkamah Persekutuan, yang menurutnya menjadi simbol kesyukuran selain usaha meneruskan khidmat kepada masyarakat.

“Kami menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 yang akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan Bakul Makanan kepada keluarga kurang berkemampuan dan pemberian iPad kepada pelajar yang memerlukan bagi tujuan pembelajaran.

“Keperluan makanan tidak boleh dikompromikan, manakala akses kepada peranti digital kini amat penting bagi memastikan pelajar tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syed Saddiq, orang ramai boleh mengikuti perjalanan larian itu menerusi siaran langsung di platform TikTok, Facebook dan YouTube sepanjang tempoh empat hari acara berlangsung.

Beliau berkata, semua sumbangan akan disalurkan terus ke akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, manakala nombor akaun, kod QR bank serta maklumat kempen akan dipaparkan menerusi pautan rasmi bagi memudahkan orang ramai menyumbang.

Katanya, jumlah kutipan akan dikemas kini secara berkala bagi memastikan orang ramai mengetahui perkembangan kempen.

“Selain itu, laporan penuh penggunaan dan agihan dana akan dikongsikan selepas kempen berakhir sebagai komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah melalui sumbangan bakul makanan serta menyediakan peranti digital kepada pelajar yang memerlukan bagi menyokong proses pembelajaran mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button