Penang FC ucap takziah pemergian bekas Pengarah Teknikal
GEORGE TOWN – Penang FC menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Teknikalnya, Rosle Md Derus yang meninggal dunia hari ini.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, kelab itu menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan sahabat handai, malah kepada seluruh komuniti bola sepak negara yang pernah menerima manfaat daripada jasa serta sumbangannya.
“Seluruh warga Penang FC merakamkan ucapan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Rosle Md Derus, bekas Pengarah Teknikal Penang FC yang telah kembali ke rahmatullah.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat keluarga, sahabat handai serta seluruh komuniti bola sepak yang pernah mengenali jasa dan sumbangan beliau,” menurut kenyataan itu.
Penang FC turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman.
Kelab itu juga berharap ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang penuh dukacita.
Allahyarham Rosle, 48, merupakan bekas pemain kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Remaja FIFA 1997 dan kempen Kelayakan Sukan Olimpik 2000.
Selepas menamatkan karier sebagai pemain, beliau aktif dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan bola sepak dengan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih Felcra FC, Penolong Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC Bawah 23 Tahun serta Pengarah Teknikal Penang FC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








