Pindaan Akta 589 perkukuh peranan MCMC hadapi cabaran industri digital
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bagi memperkukuh peranan, fungsi, tadbir urus dan keupayaan operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seiring perkembangan pesat industri komunikasi dan multimedia negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) penting bagi memastikan MCMC terus berupaya mengawal selia serta membangunkan industri komunikasi dan multimedia yang semakin berkembang.
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan inovasi sejak beberapa dekad lalu menjadikan peranan MCMC tidak lagi terhad kepada fungsi kawal selia semata-mata, sebaliknya turut meliputi pembangunan industri mengikut keperluan semasa di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Bagi memastikan MCMC kekal relevan dalam mengawal selia dan membangunkan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, Akta 589 wajar dipinda.
“Ia bagi memperkukuh keupayaan suruhanjaya itu menghadapi perkembangan pesat industri serta pelbagai cabaran semasa, di samping menambah baik peranan dan fungsinya,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua.
Beliau berkata, antara cadangan utama pindaan adalah memperjelaskan fungsi MCMC dalam membangunkan dan mengawal selia infrastruktur serta platform komunikasi yang mampu meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh keyakinan pengguna dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Pindaan itu turut memperluaskan fungsi MCMC berkaitan keselamatan rangkaian komunikasi termasuk perlindungan keselamatan, kewibawaan dan keutuhan aset maklumat serta perkhidmatan komunikasi.
“Sudut tadbir urus, RUU tersebut mencadangkan bilangan maksimum anggota MCMC daripada pihak selain Kerajaan Persekutuan ditingkatkan daripada lima kepada tujuh orang, sekali gus menjadikan jumlah maksimum anggota suruhanjaya meningkat daripada sembilan kepada 11 orang,” katanya lagi.
Selain itu, ketua setiausaha kementerian yang bertanggungjawab terhadap portfolio komunikasi dan multimedia dicadangkan dilantik sebagai anggota ex-officio mewakili Kerajaan Persekutuan.
RUU itu turut menetapkan bahawa individu yang dilantik sebagai Pengerusi MCMC tidak boleh menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menjamin kebebasan dan integriti jawatan tersebut.
Tempoh pelantikan pengerusi dan anggota MCMC selain anggota ex-officio turut diperjelaskan iaitu selama dua tahun bagi setiap penggal dan boleh dilantik semula, namun tidak melebihi lima penggal keseluruhannya.
Dalam aspek operasi, MCMC dicadangkan diberi kuasa menjalankan audit terhadap pemegang lesen dan mana-mana pihak yang menyediakan perkhidmatan berkaitan sistem komunikasi.
Pada masa sama, suruhanjaya itu turut diberi kuasa untuk menyiarkan maklumat berkaitan kesalahan di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia sebagai salah satu mekanisme penguatkuasaan.
RUU berkenaan juga mencadangkan had nilai kontrak yang boleh dimeterai MCMC tanpa kelulusan Menteri Kewangan dinaikkan daripada RM5 juta kepada RM50 juta bagi meningkatkan fleksibiliti operasi suruhanjaya.
Secara keseluruhan, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 mengandungi 17 fasal yang membabitkan pindaan berkaitan fungsi, tadbir urus, operasi dan kuasa MCMC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








