Polis mohon notis merah Interpol kesan aktivis Tamim Dahri
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon Interpol mengeluarkan notis merah bagi mengesan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai masih berada di luar negara selepas terpalit dengan kes provokasi agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan itu dibuat pada 8 Jun lalu selepas PDRM mengambil langkah memohon pembatalan pasport suspek bagi membantu usaha mengesan dan membawa pulang individu berkenaan ke Malaysia.
Beliau berkata, semakan rekod pergerakan keluar masuk negara bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati Tamim Dahri masih berada di luar negara.
“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, PDRM sudah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan Red Notice kepada pihak Interpol pada 8 Jun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status tindakan PDRM mengesan Tamim Dahri.
Baca juga : Tamim Dahri letak syarat mahu serah diri, gesa roboh 4 kuil haram
Pada 17 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas pihak pendakwaan memaklumkan suspek dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan masih belum dapat mengesahkan sama ada suspek memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.
Pada 17 Mei lalu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek.
Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci penganut Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.
Pada Mac lalu, Tamim Dahri menyatakan kesediaan untuk pulang ke Malaysia dan menyerah diri kepada PDRM dalam masa terdekat, namun meletakkan beberapa syarat termasuk tindakan perobohan terhadap empat buah kuil yang didakwanya tidak sah.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, beliau yang mendakwa berlatar belakang teknikal berkata, pendekatan yang diambil sebelum ini lebih menjurus kepada penyelesaian masalah, namun kini cuba menggunakan pendekatan berbeza yang disifatkannya sebagai ‘seni diplomasi’.
Menurutnya, antara syarat yang dikemukakan ialah perobohan kuil di empat lokasi iaitu di Jalan Pandanmas, Hospital Bukit Mertajam, Seafield dan kawasan berhampiran Jakel.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan rasional di sebalik pemilihan lokasi tersebut, sebaliknya hanya menyatakan perkara itu boleh difahami sendiri oleh pihak berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








