KDN perlu bentang hasil siasatan Network School segera
SHAH ALAM – Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan segera hasil siasatan berhubung operasi projek Network School di Forest City, Johor yang didakwa melibatkan penyertaan warga Israel.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya memandang serius perkembangan projek berkenaan yang mula beroperasi sejak 2024 dan diasaskan tokoh teknologi serta pelabur kripto, Balaji Srinivasan.
Menurutnya, dakwaan bahawa projek tersebut mengambil warga Israel untuk menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua menimbulkan persoalan berkaitan kedaulatan negara dan keselamatan.
” Pendirian Malaysia terhadap Israel sangat jelas iaitu tiada hubungan diplomatik dalam apa jua keadaan.
“Justeru, kewujudan Network School di Johor menimbulkan pelbagai reaksi kerana dikhuatiri menjadi ruang kepada warga Israel memasuki Malaysia melalui kaedah yang tidak selari dengan pendirian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa ancaman tersebut mempunyai asas berdasarkan kenyataan terdahulu Balaji yang mengaitkan konsep “Network State” dengan gerakan Zionisme awal, termasuk penggunaan istilah “tech Zionism” bagi menerangkan analogi tersebut.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa agensi berkaitan termasuk KDN, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi keselamatan menjalankan siasatan menyeluruh.
Antara perkara yang perlu diteliti, katanya, ialah identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, tujuan kemasukan mereka ke Malaysia serta sama ada aktiviti sebenar yang dijalankan selaras dengan tujuan kemasukan yang diisytiharkan.
“Dewan Pemuda PAS Selangor menegaskan keterbukaan Malaysia terhadap kemajuan teknologi, inovasi dan pelaburan antarabangsa tidak boleh mengatasi kepentingan kedaulatan negara, keselamatan rakyat serta prinsip dasar luar Malaysia terhadap isu Israel,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, sebarang inisiatif luar yang beroperasi di Malaysia perlu mematuhi undang-undang negara, menghormati nilai serta pendirian Malaysia dan tidak menjadi ruang kepada agenda atau ideologi asing yang boleh menjejaskan kepentingan nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








