Dakwaan anggota rogol, cabul: TDM buat laporan polis
KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap dakwaan yang melibatkan anggota dan organisasi disiasat secara adil, telus serta berasaskan fakta dan undang-undang.
TDM memaklumkan pihaknya memandang serius penularan dakwaan dan kandungan di media sosial yang disifatkan berunsur fitnah, tidak berasas serta berpotensi menjejaskan reputasi anggota, rantaian pemerintahan dan imej organisasi.
“Isu tular yang mendakwa anggota TDM terlibat dalam kes rogol, cabul dan persetubuhan telah berlegar di media sosial sejak tahun 2024.
“TDM telah melaksanakan siasatan dalaman dan mendapati aduan yang tular di platform media sosial adalah bercanggah dengan fakta sebenar.
“Justeru, laporan polis telah dibuat oleh anggota yang terlibat, selain pegawai dan anggota berkenaan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TDM turut berkata, penggunaan media sosial sebagai medium pelaporan oleh pengadu adalah tidak profesional dan dilihat seolah-olah bertujuan mencemarkan imej organisasi.
Menurut kenyataan tersebut, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pengadu berhubung tuduhan jenayah seperti yang didakwa dalam hantaran tular berkenaan.
“Malah, akaun anonim yang membuat dakwaan tersebut juga didapati telah lenyap dan dipadamkan daripada media sosial,” katanya lagi.
Sehubungan itu, TDM menegaskan budaya ‘trial by viral’ tidak boleh dinormalisasikan dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan individu atau organisasi.
“TDM akan menggunakan segala instrumen undang-undang sivil dan jenayah bagi mengekang gejala ini. Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan melalui saluran yang sah supaya dapat disiasat secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








