JENAYAH & MAHKAMAH

Rosmah saman Harith Iskander, dakwa dihina dalam persembahan komedi

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelawak dan pelakon terkenal, Harith Iskander atas dakwaan menghina rupa paras serta fizikalnya dalam satu persembahan komedi yang diadakan di Melaka pada Januari lalu.

Menerusi tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 9 Jun lalu, Rosmah mendakwa Harith telah memaparkan imej makhluk halus sebelum menunjukkan gambarnya ketika persembahan Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di Hotel Swiss-Garden, Melaka.

Menurut Rosmah, sebelum memaparkan gambar tersebut, Harith didakwa memberitahu penonton bahawa individu yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan “melihat sesuatu yang menakutkan”.

Beliau mendakwa tindakan itu secara jelas menggambarkan dirinya sebagai sesuatu yang menakutkan dan mengaitkannya dengan makhluk halus.

“Kenyataan berkenaan dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik saya, selain bertujuan mengaibkan saya melalui penghinaan bentuk fizikal (body shaming).

“Perbandingan ini serius kerana ia dibuat ketika persembahan komedi di hadapan penonton secara langsung bagi meraih gelak tawa dan hiburan,” menurut pernyataan tuntutan tersebut.

Rosmah yang diwakili Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak menamakan Harith Iskander Musa sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Beliau turut mendakwa rakaman persembahan tersebut telah dimuat naik oleh pengguna TikTok dan menerima ratusan ribu tontonan serta ribuan tanda suka.

Menurut Rosmah, kenyataan yang didakwa memfitnah itu telah menjejaskan reputasi dan maruahnya sebagai figura awam, isteri bekas Perdana Menteri serta penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan selain perintah injunksi bagi menghalang kenyataan berkenaan terus disebarkan.

Rosmah turut memohon supaya Harith mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan menarik balik kenyataan tersebut secara bertulis menerusi dua akhbar arus perdana serta platform media sosial yang dipersetujui.

Peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mengesahkan tuntutan saman itu dan memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 31 Julai ini.

Sementara itu, Harith dalam pernyataan pembelaannya menafikan dakwaan bahawa paparan berkenaan menggambarkan Rosmah sebagai makhluk seram, menakutkan, hodoh atau mempunyai apa-apa maksud fitnah seperti yang didakwa plaintif.

Beliau juga menegaskan rakaman yang tular di TikTok dimuat naik tanpa pengetahuan atau persetujuannya serta tidak memaparkan konteks penuh persembahan komedi tersebut.

Peguam yang mewakili Harith, Sangeet Kaur Deo turut mengesahkan perkara itu, manakala pengurusan kes telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button