Syed Saddiq ada potensi jadi Perdana Menteri – Syed Ali Alhabshee
KUALA LUMPUR – Ketabahan dan komitmen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepanjang berdepan proses perbicaraan selama enam tahun membuktikan beliau mempunyai potensi besar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia pada masa depan.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, Syed Saddiq memiliki keperibadian baik, berdaya tahan serta berpegang teguh kepada prinsip ‘berani kerana benar’, sekali gus menyerlahkan ciri-ciri seorang pemimpin masa depan.
“Melihat kepada gerak kerja politik, ketabahan serta pegangannya terhadap prinsip ‘berani kerana benar’, saya berpendapat Syed Saddiq mempunyai potensi besar dalam landskap politik negara dan berkeupayaan memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang individu berdepan proses perbicaraan mahkamah selama enam tahun, namun pada masa sama masih mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Walaupun saya tidak mengenali Syed Saddiq secara dekat, saya difahamkan beliau tidak pernah mengelak atau meminta penangguhan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.
“Malah, beliau juga sentiasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan bersungguh-sungguh membantu penduduk di Muar,” katanya.
Syed Ali berkata, ketenangan dan ketabahan yang ditunjukkan Syed Saddiq sepanjang tempoh itu membuktikan beliau seorang pemimpin muda yang cekal, jujur dan menghormati kedaulatan undang-undang.
“Bagaimanapun, saya melihat Syed Saddiq sentiasa tenang, tabah bersama keluarga dan masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan Parlimen Muar,” ujarnya.
Pada Isnin, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan.
Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim yang diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








