AKPS siasat dakwaan salah laku anggota di KLIA
SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sudah memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang anggotanya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Komander AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria, pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan di media sosial itu telah dipanggil oleh pihak pengurusan tertinggi AKPS KLIA untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Dalam masa yang sama, pihaknya turut menghubungi pemilik akaun Threads yang memuat naik dakwaan berkenaan pukul 11 pagi semalam, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku.
“Bagaimanapun, sehingga pukul 4 petang hari ini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pemilik akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Safrie berkata, AKPS mengambil serius hantaran yang tular di media sosial itu dan Bahagian Integriti AKPS KLIA telah menggerakkan siasatan dalaman secara menyeluruh serta terperinci bagi mengenal pasti fakta sebenar.
“Sekiranya hasil siasatan membuktikan wujudnya sebarang salah laku, tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” jelas beliau.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu supaya tampil membantu siasatan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan integriti perkhidmatan serta kepercayaan masyarakat terhadap AKPS terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran seorang wanita yang mendakwa kejadian berlaku ketika dia pulang dari Indonesia secara bersendirian dengan membawa beberapa bungkusan bakso dalam bagasi.
Menurut hantaran itu, dia ditahan di kaunter pemeriksaan sebaik tiba di Malaysia sebelum dimaklumkan makanan berkenaan tidak dibenarkan dibawa masuk.
Individu terbabit mendakwa seorang pegawai bertugas kemudian menawarkan untuk melepaskan makanan berkenaan dengan bayaran RM100 melalui kod QR ke akaun peribadi.
Pemilik akaun itu turut mendakwa telah membuat laporan rasmi berhubung kejadian berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







